Monthly Archives: May 2008

BERITA BAIK UNTUK LEPASAN SPM 2007

Berita baik untuk lepasan SPM 2007. Jangan lepaskan peluang ini.
Mara anjur program permohonan terbuka bagi lulusan SPM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menganjurkan program permohonan terbuka bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara mulai 2 Jun ini.

Mara dalam satu kenyataan hari ini berkata, program itu bertujuan mendedahkan kepada pelajar, terutama pelajar bumiputera, mengenai peluang pendidikan yang ada.

Menurutnya, program itu disertai oleh pelbagai institusi pendidikan Mara termasuk Kolej Profesional Mara (KPM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara(KKTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan German-Malaysian Institut (GMI).

Dipetikan daripada Berita Harian,20 Mei 2008(Selasa)

SELAMAT HARI GURU 2008

Selamat Hari Guru 2008, kepada semua guru di Malaysia. Teruskan usaha anda mendidik anak-anak pewaris bangsa.

GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG …………………….
Lagu Tema Hari Guru 2008
Lagu & Lirik : Rosli bin Ahmad BTP 2008

Guru cemerlang
Mengasih dan menyayang
Mendidik anak bangsa
Seikhlas jiwa
Gigih terus berbakti
Hidup penuh berbudi
Maruah profesion disanjung tinggi

Guru berjasa
Berkhidmat dengan setia
Menjulang nama bangsa di mata dunia
Hebat tidak bermegah
Waja dan berkarisma
Realisasi visi nan sejati

Guru cemerlang negara terbilang
Keunggulan pendidikan dimartabatkan
Guru cemerlang negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia terpelihara

Guru cemerlang negara terbilang
Keunggulan pendidikan dimartabatkan
Guru cemerlang negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia terpelihara

Guru oh Guru …………………………………………………………..

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

KEPUTUSAN RAYUAN MATRIKULASI 22 MEI

Rayuan matrikulasi boleh disemak 22 Mei

KEPUTUSAN permohonan rayuan memasuki Program Matrikulasi Satu Tahun, Kementerian Pelajaran, tahun ini boleh disemak pada 22 Mei ini.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata calon berjaya akan mendaftar di kolej matrikulasi ditetapkan, pada 26 Mei.

Bagaimanapun, katanya, jumlah tempat ditawarkan untuk permohonan rayuan hanya dapat ditentukan selepas calon ditawarkan mendaftar pada 12 Mei ini.

“Permohonan rayuan dibuka mulai 16 hingga 30 April lalu. Kita hanya dapat memastikan jumlah kekosongan selepas pendaftaran pelajar 12 Mei,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, katanya, pengumuman pengambilan calon memasuki Program Matrikulasi Dua Tahun akan dibuat pada 26 Mei ini dan pendaftaran pula 16 Jun depan.

“Semakan keputusan permohonan boleh dibuat menerusi laman web: https://www.moe.edu.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPM.

………………………………SEMAKAN TAWARAN KE KOLEJ MATRIKULASI …………………………….
KEPUTUSAN PENEMPATAN CALON PROGRAM MATRIKULASI SATU TAHUN (PST) KPM AMBILAN KEDUA
DAN CALON RAYUAN

…………………………………………………………………………………………………………………………………

“Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi Bantuan Bahagian Matrikulasi di talian 03-88844100 pada hari bekerja, mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya.

Sebelum ini, laporan akhbar memetik Zainal sebagai berkata, sejumlah 26,000 tempat ditawarkan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran, iaitu 23,000 satu tahun, manakala 3,000 lagi dua tahun.

Katanya, pelajar terpilih akan ditempatkan di sembilan kolej matrikulasi di Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Johor, Perak, Kedah dan Pahang serta Kolej Mara Kulim dan Kolej Mara Kuala Nerang, di Kedah.

KEPUTUSAN KE TINGKATAN 6 DIKETAHUI 6 MEI 2008

KUALA LUMPUR: Pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh mengetahui sama ada mereka layak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, mulai Selasa ini.

Kementerian Pelajaran dalam kenyatannya berkata, pelajar boleh menyemak keputusan itu dengan melayari laman web di http:www.moe.gov.my atau klik disini,

melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip

T6 jarak KP jarak Nombor Kad Pengenalan
atau
T6 jarak AG jarak Angka Giliran

dan dihantar ke talian 33778.

Bagi pelajar yang gagal mendapatkan tempat ke Tingkatan Enam, mereka boleh membuat rayuan dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun daripada laman web tersebut dan menghantarnya kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di tempat mereka selewat-lewatnya sebelum atau pada 6 Jun depan.

Keputusan rayuan akan dimaklumkan kepada pelajar melalui pos oleh JPN.

Tarikh pendaftaran pelajar Tingkatan Enam bermula 12 Mei.

Sumber : Bernama

Content Protected Using Blog Protector Plugin By: Make Money.