Berita Pendidikan

Petikan berita-berita yang berkaitan perkembangan semasa dunia pendidikan di negara kita.

  • #1 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    GURU GEMILANG HASILKAN PELAJAR CEMERLANG
    Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

    SAMBUTAN Hari Guru hari ini diharapkan mencetuskan semangat dan keazaman kira-kira 300,000 guru seluruh negara bagi meneruskan perjuangan mendidik dengan ikhlas serta berdedikasi dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang dan berkualiti.

    Walaupun kini beban tugas mendidik pelajar semakin berat dan bertambah, amanah dan tanggungjawab perlu ditunaikan dengan penuh komitmen dalam usaha memperkasa dan memartabatkan lagi profesion keguruan negara, di samping membuktikan hasil kerja berkualiti serta berdisiplin.

    Guru tidak boleh bersikap lepas tangan terhadap kepentingan peranan mereka membantu pelajar mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran sehingga mampu mencapai kecemerlangan menerusi pengajaran yang berkesan.

    Kepentingan guru berkualiti perlu dititikberatkan kerana tanpanya sukar untuk menghasilkan pelajar bermutu. Tanpa komitmen guru terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, perubahan kemajuan dalam pelajaran mungkin terjejas sehingga ada pelajar masih tidak dapat membaca walaupun sudah memasuki persekolahan menengah.

    Justeru, guru mesti menghayati tugas murni profesion keguruan dan menjalankan tanggungjawab itu atas dasar ikhlas untuk mendidik, bukan sebagai pilihan kerjaya terakhir.

    Dengan kesungguhan semua pihak, pelajar mampu mencapai kecemerlangan membanggakan.

    Antara ciri pendidik berkualiti ialah melaksanakan tugas dengan bersungguh dan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran.

    Di samping itu, guru berkualiti bersedia menghadapi cabaran pelajar bermasalah dan tidak mudah mengalah atau cepat tawar hati sehingga hilang semangat untuk berusaha membantu mengatasi kelemahan mereka, selain sentiasa bekerjasama dengan pihak pentadbiran ke arah kebaikan pendidikan negara.

    Guru juga perlu berusaha mempertingkatkan profesionalisme dari semasa ke semasa dengan mengikuti kursus dan perkembangan terbaru bidang pendidikan, terutama mengenai kaedah serta pendekatan pengajaran yang berkesan.

    Selain itu, guru berkualiti perlu seiring dengan aspirasi negara, bukan bertindak mengikut emosi peribadi, seterusnya menganggap tugas mendidik sebagai amal kebajikan atau ibadat yang diberikan ganjaran besar di sisi Allah.

    Guru mesti sentiasa menunaikan amanah dengan jujur, sekali gus berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya tidak ketinggalan dalam perkembangan pesat dunia pendidikan harus memiliki motivasi, keyakinan serta kesedaran diri untuk menghasilkan prestasi kerja berkualiti.

    Pendidik sebenarnya banyak berkorban demi kepentingan pelajar, termasuk menyelesaikan tugas berkaitan pengajaran sehingga malam di rumah dan gigih memberi persediaan terbaik kepada mereka untuk menghadapi peperiksaan.

    Pelajar cemerlang, guru gemilang dan negara terbilang yang diredai Allah.

    Dalam konteks lebih luas, guru adalah bertanggungjawab untuk mendidik dan memimpin masyarakat.

    Tidak dinafikan bahawa guru banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

    Dalam proses pembentukan sahsiah pelajar, guru terlebih dulu perlu mempunyai sahsiah baik untuk dicontohi pelajar.

    Contoh teladan guru juga banyak membantu pembentukan akhlak pelajar.

    Merekalah yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur.

    Dari sudut lain, guru juga adalah ejen kepada keberkesanan pendidikan.

    Sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya ejen penyampaiannya tidak berkesan.

    Kejayaan dan keberkesanan pendidikan amat berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmu dan keluhuran peribadinya.

    Himpunan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi guru yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh berkesan.

    Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa guru adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu kepada masyarakat.

    Justeru, semua guru mesti menyedari tanggungjawab mereka dan sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat dengan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.

    Sumber : Berita Harian

  • #2 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PM ANGGAP PENDIDIK PENTING UNTUK MAJU

    JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan profesion keguruan penting untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju menjelang 2020.

    Perdana Menteri berkata, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menetapkan pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas pertama sebagai satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020.

    “Hakikatnya, kejayaan agenda pembangunan modal insan bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara.

    “Sebagai pendidik di barisan paling depan dalam usaha mempertingkat kualiti sistem pendidikan negara, peranan yang dimainkan guru tidak ternilai,” katanya dalam buku cenderamata Pelancaran Perayaan Hari Guru Kebangsaan ke-36.

    Beliau berkata, pelbagai dasar dan pelan induk yang dirangka kerajaan tidak akan berhasil tanpa pelaksanaan berkesan daripada guru serta kesungguhan guru di setiap pelosok negara.

    Katanya, dunia yang semakin bersifat global menuntut kepada perubahan minda dan lonjakan prestasi daripada kerjaya perguruan.

    Sehubungan itu, katanya, guru perlu terus menyambut cabaran melahirkan generasi modal insan berdaya saing dan berfikiran global.

    Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, guru perlu tetap berakar kepada nilai dan budaya tempatan serta perlu peka dan prihatin dengan perkembangan terbaru dalam pelbagai ilmu dan kemahiran, terutama dalam bidang pendidikan.

    Selain itu, guru perlu bersedia merintis perubahan demi meningkatkan kualiti profesion itu selaras dengan usaha kerajaan menjana modal insan gemilang, katanya.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan padu kepada guru bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik.

    “Keperluan dan kebajikan guru, terutama di luar bandar dan pedalaman akan terus diberi perhatian. Ini penting untuk memastikan sistem pendidikan negara terus mantap dan bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya.

    Sumber : Berita Harian

  • #3 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    Pengalaman lima tahun boleh jadi Guru Cemerlang
    Oleh Syuhada Choo Abdullah

    TEMPOH pengalaman mengajar tidak kurang tujuh tahun yang disyaratkan dalam permohonan jawatan Guru Cemerlang, diturunkan kepada tidak kurang lima tahun, mulai tahun ini.

    Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pengurangan tempoh itu secara langsung membolehkan guru menikmati peluang peningkatan kerjaya terbabit dengan lebih cepat.

    Selain itu, beliau berkata, langkah berkenaan juga bertujuan mengelakkan jarak tempoh yang agak rapat dengan syarat 10 tahun ditetapkan untuk guru memperoleh kenaikan menerusi satu lagi saluran, iaitu `time-based’.

    “Tawaran jawatan Guru Cemerlang ialah antara saluran peningkatan kerjaya guru yang paling utama atau banyak. Justeru, peluang memohon jawatan itu dalam tempoh lebih cepat akan mendorong guru berkhidmat dengan gigih dan berkesan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

    Zulkifly berkata, Kementerian Pelajaran sudah menetapkan kuota 9,374 jawatan Guru Cemerlang meliputi 5,374 bagi pegawai perkhidmatan pelajaran (PPP) siswazah dan 4,000 lagi untuk PPP bukan siswazah.

    Bagi PPP siswazah, katanya, kementerian menyediakan 4,000 jawatan Guru Cemerlang DG44, DG48 (1,000), DG52 (250), DG54 (100) dan Gred Khas C (24).

    Sementara, bagi PPP bukan siswazah pula, beliau berkata, 3,200 jawatan Guru Cemerlang DGA32 disediakan, selain 800 jawatan Guru Cemerlang DGA34.

    Dalam konteks ini, Zulkifly berkata, Bahagian Sekolah berperanan sebagai urus setia menerima permohonan jawatan Guru Cemerlang yang diletakkan di bawah pengendalian Jemaah Nazir Sekolah (JNS).

    Dari segi syarat lain pula, beliau berkata, guru memohon jawatan Guru Cemerlang yang diperkenalkan sejak 1993 itu turut dikehendaki menyertakan sebarang hasil kajian tindakan mereka.

    “Kajian tindakan itu meliputi inovasi yang pernah dilakukan guru terbabit untuk menambah baik atau mempertingkat prestasi pencapaian dalam mata pelajaran mereka.

    “Sebagai contoh, guru berkenaan mendapati ada pelajar yang tidak dapat mengikuti atau menguasai mata pelajaran diajarnya. Justeru, guru terbabit membuat kajian punca dan berusaha menanganinya.

    “Walaupun bilangan pelajar yang bermasalah itu mungkin sedikit, inisiatif, kreativiti serta inovasi guru berkenaan mengatasi keadaan terbabit penting, malah menjadi contoh berguna yang boleh dikongsi bersama rakan sejawat lain,” katanya.

    Sementara itu sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008, Zulkifly berharap guru di seluruh negara akan bertugas dengan lebih komited berikutan senario perkembangan dunia yang semakin maju.

    Katanya, guru perlu meningkatkan ilmu pengetahuan supaya dapat membimbing pelajar secara berkesan dalam suasana dunia terbuka dengan kemudahan capaian maklumat yang luas menerusi buku dan internet kini.

    “Begitupun, peranan guru bukanlah mengajar semata-mata tetapi juga mendidik secara menyeluruh, termasuk dalam aspek sahsiah dan kemahiran kepimpinan di kalangan pelajar, bagi menjayakan penjanaan modal insan.

    “Tugas guru ini adalah mulia. Seseorang perlu ada kesabaran tinggi untuk menjadi seorang guru. Ini bermakna mereka perlu menghadapi dan menangani kerenah pelajar serta ibu bapa secara berhemah dan mengikut prosedur sedia ada. Janganlah mengambil tindakan secara beremosi,” katanya.

  • #4 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PM UMUM SKIM BARU KENAIKAN PANGKAT GURU
    Oleh Amirullah Andi Nur, Nasir Abd Wahab dan Rosniza Mohd Taha

    MELAKA: Sempena sambutan Hari Guru 2008, kerajaan semalam mengumumkan beberapa insentif kepada warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan lagi profesion perguruan di negara ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan kenaikan gred secara ‘time based’ selepas berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 ke DG44.

    Langkah itu, katanya, bertepatan gagasan kerajaan membangunkan modal insan, selain bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru sebagai galakan golongan terbabit melanjutkan pengajian sekali gus memantapkan mutu serta daya saing.

    “Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred DG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

    “Insentif ini adalah satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini iaitu untuk memberikan hadiah kenaikan gaji,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 warga pendidikan yang menghadiri majlis sambutan itu di Ayer Keroh, petang semalam.

    Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepemimpinan Guru 2008 kepada Datuk Rashdi Ramlan serta Tokoh Guru kepada Datuk Dr Dzulkarnain Abd Rahman, Abu Bakar Shawkat Ali serta Krishnasamy Karpaya.

    Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

    Abdullah berkata, kerajaan meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar gred DG41.

    Selepas menambah kuota jawatan dalam skim cemerlang pada 2006 sebanyak lebih 300 peratus dan memastikan jawatan berkenaan dapat dinikmati segera oleh guru, kerajaan juga bersetuju menambah baik beberapa syarat bagi skim guru cemerlang.

    “Pertama, bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru cemerlang DG44 dari gred asal DG41, syarat tempoh kelayakan dipendekkan daripada tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar.

    “Kedua, pegawai yang sudah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred sedang disandang,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah dengan syarat mereka cemerlang.

    Selain itu, gred pegawai pelajaran daerah (PPD) dinaikkan dari DG48 ke gred DG52 dan DG54, disamping menyeragamkan struktur pejabat berkenaan di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan bagi Sabah dan Sarawak.

    “Disamping kenaikan PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah,” katanya.

    Abdullah berkata kerajaan juga meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran selepas kali terakhir dilakukan pada 1995. Peringkat awal kelulusan itu membabitkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred 54 ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A.

    “Sebagai contoh, semua jawatan timbalan ketua pengarah pelajaran kini diseragamkan pada gred jusa A berbanding sebelumnya yang berbeza iaitu gred Jusa A, B, C dan DG54. Penambaikan dan penstrukturan semula kementerian dan PPD ini disasarkan akan dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat,” katanya.

  • #5 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    SYARAT NAIK GRED “TIME-BASED” KEKAL

    SYARAT kenaikan gred guru DG41 ke DG44 secara time-based dikekalkan dan kementerian tidak bercadang menambah baik dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

    Bagaimanapun, katanya, guru berkenaan berpeluang menikmati kenaikan gred lebih cepat dengan memohon jawatan Skim Guru Cemerlang yang baru-baru ini dipendekkan syaratnya daripada tujuh kepada lima tahun pengalaman mengajar.

    Beliau berkata, guru berkenaan boleh dipertimbang ke gred DG48, DG52, DG54 dan Jusa, dalam tempoh seawal enam bulan berbanding tiga tahun sebelum ini jika prestasi mereka amat cemerlang.

    Selain itu, beliau menjelaskan guru terbabit juga boleh memanfaatkan perjawatan baru diwujudkan atau memohon jawatan pentadbir bagi menikmati kenaikan pangkat.

    “Pengumuman insentif baru sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini sebenarnya turut memberi peluang guru gred DG41 menikmati kenaikan pangkat lebih cepat menerusi Skim Guru Cemerlang.

    “Mereka juga boleh memohon jawatan baru dan pentadbiran seperti guru super dan guru penolong kanan untuk mendapat kenaikan pangkat.

    “Saya sedar pelbagai isu membabitkan guru dan ia mengambil masa untuk diselesaikan. Saya harap mereka bersabar sementara isu seumpama ini diselesaikan serta memanfaatkan skim sedia ada,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

    Beliau mengulas rungutan sesetengah guru menerusi e-mel dan surat pembaca Berita Harian yang mendakwa Kementerian Pelajaran terlepas pandang masalah dihadapi kumpulan guru lepasan maktab yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pada 1980-an serta 1990-an dan terpaksa menunggu lama untuk kenaikan pangkat.

    Jumlah kumpulan ini dikatakan mencecah hampir 80,000 dan mereka berasa terpinggir kerana terpaksa menunggu masa terlalu lama untuk kenaikan pangkat dari DG41 ke DG44.

    Cadangan mengambil kira pengalaman guru gred DG41 untuk pertimbangan kenaikan ke gred DG44 secara time-based turut dibangkitkan Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng.

    Sumber : Berita Harian 22/05/2008

  • #6 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    BPG GUBAL KURIKULUM PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA
    Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Suzilla Markus

    BAHAGIAN Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, sudah menggubal Kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dan luar negara.

    Pengarahnya, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata kumpulan pertama guru yang mengikuti program berkenaan akan menerima ijazah pada 2010.

    Katanya, pelaksanaan program itu bertujuan memartabatkan kerjaya perguruan dengan melahirkan guru berkualiti sejajar matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang dilancarkan pada 2006.

    “Selain itu, BPG turut bekerja keras meningkatkan kelayakan ikhtisas pensyarah di institut perguruan guru dengan menyediakan Hadiah Latihan Persekutuan untuk pengajian peringkat ijazah doktor falsafah dan sarjana dalam tempoh 2006 hingga 2010,” katanya berucap pada majlis Konvokesyen Institut Perguruan Zon Sabah Ke-2 di Kota Kinabalu, semalam.

    Pada majlis itu, seramai 438 graduan menerima diploma merangkumi 145 dari Institut Perguruan Kent, Institut Perguruan Gaya (104), Institut Perguruan Tawau (96) dan Institut Perguruan Keningau (93).

    Majlis penyampaian diploma disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Hadir sama, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

    Sumber : Berita Harian 22/05/2008

  • #7 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PELAJAR LUAR BANDAR TERIMA PPSMI
    Oleh Syuhada Choo Abdullah

    HASIL kajian awal Kementerian Pelajaran terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah mendapati pelajar berupaya menerima pelaksanaan dasar baru itu.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata ini berikutan prestasi pencapaian mata pelajaran terbabit tidak menunjukkan banyak perbezaan berbanding ketika penggunaan bahasa Melayu dulu.

    Malah, katanya, perkembangan semasa menunjukkan ramai pelajar, termasuk calon dari sekolah luar bandar, mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan mata pelajaran berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian menjalankan kajian berterusan terhadap pelaksanaan dasar PPSMI di mana Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dijangka membuat pengumuman pada pertengahan dan akhir tahun ini.

    “Kajian dijalankan Kementerian Pelajaran ini, termasuk oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia, adalah menyeluruh dengan mencakupi semua sekolah, guru dan pelajar.

    “Dalam konteks ini, Menteri Pelajaran akan membuat kenyataan polisi mengenai perkembangan dan pencapaian pelaksanaan dasar PPSMI.

    “Pengumuman pada akhir tahun akan turut mengambil kira prestasi pencapaian pelajar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini kerana mereka adalah kumpulan calon pertama yang selesai mengikuti PPSMI selama enam tahun di sekolah rendah,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta) Ke-17 bertema English Language and Multiple Literacies di The Mines, Selangor, semalam.

    Hadir sama Presiden Melta, Dr Ganakumaran Subramaniam. Kira-kira 400 peserta menghadiri persidangan dua hari itu.

    Pada majlis itu, Razali turut menyampaikan dua anugerah, iaitu Melta Hyacinth Gaudart English Language Teacher Award serta Anugerah Khas Melta masing-masing kepada Margaret Mary Lawrence Joseph dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 5,Kuala Lumpur dan Mina Patel (Britich Council).

    Selain itu, Razali bagi pihak Melta juga menerima replika cek biasiswa berjumlah RM62,000 sumbangan Fairview International School yang disampaikan Ahli Lembaga Pengurusnya, Prof Emeritus Datuk Dr Sham Sani.

    Seterusnya, Razali berkata, Kementerian Pelajaran tidak ketinggalan memberi penekanan terhadap usaha mempertingkat penguasaan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

    Lebih-lebih lagi, katanya, keputusan terkini Penilaian Menengah Rendah menunjukkan kira-kira 35 peratus calon gagal mencapai penguasaan minimum dalam mata pelajaran itu, manakala masih ada pelajar yang hanya memperoleh Band 1 dan Band 2 (prestasi rendah) dalam Malaysian University English Test (Muet).

    Justeru, beliau berkata, antara langkah diambil ialah pelaksanaan program literasi awal menerusi bahasa Inggeris yang memberi penekanan kepada pelbagai kegiatan menarik seperti nyanyian, bercerita, debat dan lakonan, selain mengkaji pendekatan pengajaran bersesuaian pelajar setempat, terutama di sekolah Orang Asli serta pedalaman.

    Sementara itu mengulas laporan hasil kajian terbaru Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa sistem pendidikan Malaysia mencapai tahap baik dari segi kemudahan diberi kepada pelajar dan skim gaji tenaga pengajar pula, Razali berkata:

    “Itu bagus. Malah berdasarkan laporan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Kementerian Pelajaran mendapat penarafan empat bintang dengan gred tertinggi di kalangan 28 kementerian sedia ada di negara ini,” katanya.

    Sumber : Berita Harian 31 Mei 208

  • #8 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    SEKOLAH KENDALI LATIHAN GURU
    Oleh Syuhada Choo Abdullah

    Kementerian Pelajaran, JPN tidak lagi tentukan kursus untuk diikuti pendidik

    SEBANYAK 40 peratus daripada peruntukan program latihan guru dalam perkhidmatan, diagihkan terus kepada sekolah seluruh negara mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

    Berikutan penetapan terbaru itu, beliau berkata, pihak sekolah boleh membuat perancangan dan keputusan sendiri untuk menentukan pelaksanaan program latihan berdasarkan keperluan guru masing-masing.

    Berbanding program latihan sebelum ini dijalankan secara berpusat dengan peruntukan diletakkan di Kementerian Pelajaran dan jabatan pelajaran negeri (JPN), katanya, pihak sekolah kini berpeluang menggunakan kreativiti serta inovasi dalam usaha mempertingkat guru mereka.

    “Ini bermakna tidak perlu lagi kita menentukan kursus untuk guru, misalnya menetapkan sesebuah sekolah itu mesti menyertai program latihan teknologi maklumat dan komunikasi sedangkan ia mungkin tidak penting baginya kerana tenaga pengajar di sana sudah ada kemahiran itu.

    “Sebaliknya, guru di sekolah berkenaan mungkin lebih memerlukan pendedahan kemahiran berkomunikasi. Dalam konteks ini, pihak sekolah lebih maklum keperluan masing-masing. Justeru, biarlah mereka yang membuat pilihan program latihan sendiri.

    “Tambahan pula, langkah memperkasakan sekolah ini dapat mengelakkan guru daripada keluar menghadiri program latihan di luar, sekali gus tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Malah, semua guru akan berpeluang mengikuti program latihan dalaman ini berbanding jika diadakan secara berpusat, hanya beberapa orang dipilih mewakili setiap sekolah yang menyertai kursus itu.

    “Ini memenuhi ketetapan dasar pendidikan bahawa setiap guru perlu mendapat latihan tujuh hari setahun,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) 2008 bertema ‘Kepimpinan Berkualiti Menjana Modal Insan Cemerlang’ di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Program peringkat kebangsaan selama empat hari itu yang disertai 132 PPD, antara lain bertujuan menghasilkan modul pengurusan pendidikan berkesan untuk pembangunan modal insan yang dapat memenuhi aspirasi negara.

    Selaras pelaksanaan itu, Alimuddin berkata, 40 peratus daripada baki jumlah peruntukan terbabit akan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), manakala 20 peratus lagi diletakkan di bawah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

    Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah peruntukan yang diagihkan terus kepada setiap sekolah tertakluk kepada bilangan guru masing-masing, termasuk di sekolah kurang murid.

    Mengenai langkah kementerian memastikan pihak sekolah benar-benar memanfaatkan peruntukan diterima itu untuk menjalankan program latihan dalaman bagi guru masing-masing pula, Alimuddin berkata:

    “Pihak sekolah perlu menghantar laporan pada akhir tahun mengenai jumlah wang digunakan dan kursus yang sudah dilaksanakan. Saya nampak langkah ini lebih berkesan berdasarkan konsep ‘let the manager manage’.”

    Seterusnya, Alimuddin turut menekankan perlunya pengurangan kerenah birokrasi terlalu ketat yang boleh mengekang kreativiti pengetua dan guru besar merealisasikan hala tuju kemajuan sekolah masing-masing.

    “Asalkan tidak melanggar peraturan dan ketetapan dasar, biarlah pemikiran datang daripada pihak sekolah sendiri. Ini akan membantu membawa perubahan dari segi kreativiti dan inovasi dalam pendidikan negara,” katanya.

    Sumber : Berita Harian 12/06/2008

  • #9 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    TRANSFORMASI PENDIDIKAN BERMULA 2010

    KUALA LUMPUR 12 Jun – Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

    ”Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.

    ”Kita nak wujudkan konsep ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.

    Alimuddin berkata, selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan.

    Menurutnya, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.

    ”Ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi,” jelasnya.

    Beliau memberitahu, sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti.

    Menurut Alimuddin lagi, tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut dan ia akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010.

    Beliau berharap, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020.

    ”Pelajar-pelajar yang berada di peringkat sekolah sekarang ini akan berusia antara 20 hingga 30 tahun menjelang 2020 dan produktiviti mereka sangat diperlukan untuk memajukan negara,” katanya.

    Sumber : Utusan Malaysia 12/06/2008

  • #10 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    GURU BUKAN LAGI PILIHAN TERAKHIR

    Permohonan ikuti kursus perguruan termasuk pelajar cemerlang, graduan meningkat

    KECENDERUNGAN lepasan sekolah dan graduan universiti menyertai profesion keguruan kini semakin meningkat, sekali gus membuktikan kerjaya itu bukan lagi menjadi pilihan terakhir mereka yang ingin makan gaji semata-mata.

    Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata berikutan itu, persaingan calon yang memohon memasuki institut pendidikan guru (IPG) secara langsung kian sengit.

    Malah, beliau berkata, banyak permohonan diterima daripada calon yang bukan saja mempunyai kelulusan cemerlang malah memiliki kelayakan tinggi.

    Katanya, calon terbabit membuat keputusan memilih profesion keguruan walaupun boleh menerokai bidang kerjaya lain berdasarkan kelayakan dimiliki.

    “Justeru, proses penentuan calon menyertai latihan bidang berkenaan adalah ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dipilih.

    “Perkara ini dikenal pasti menerusi instrumen seperti Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST) dan Inventori Sahsiah Keguruan (Insak), selain penilaian temu duga.

    “Ini penting kerana program di IPG adalah mencabar selaras tuntutan jaminan kualiti tinggi ditetapkan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan Kementerian Pelajaran menerima 108,394 permohonan dari seluruh negara untuk mengisi 4,726 tempat ditawarkan menerusi enam Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) pada sesi Julai ini.

    Pemohon terbabit meliputi 152 calon yang memperoleh keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, diikuti 11A (352), 10A (670), 9A (1,062), 8A (1,428), 7A (2,297), 6A (3,635) dan selebihnya 5A ke bawah.

    Jumlah itu jelas menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding 88,171 permohonan diterima daripada lepasan SPM bagi sesi kemasukan tahun sebelumnya.

    Bagi program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) pula, 59,176 permohonan diterima untuk mengisi 8,908 tempat ditawarkan sesi Januari 2009, berbanding 56,000 permohonan pada pengambilan sebelumnya.

    Meskipun beban kerja guru dikatakan semakin berat serta mencabar, Asariah berkata, faktor itu tidak menjadi penghalang kepada perkembangan pesat bidang kerjaya itu.

    Beliau berkata, profesion keguruan memerlukan calon ikhlas dan minat, selain memahami tugas serta tanggungjawab sebagai pendidik, bukan mereka yang mahu makan gaji semata-mata kerana ia akan menjejaskan matlamat kementerian menjana guru berkualiti tinggi.

    “Bukan itu saja, calon terbabit juga harus bersedia dan ada kesungguhan azam untuk berkhidmat di mana-mana saja demi kepentingan pelajar. Guru baru harus mengambil kesempatan penempatan di luar bandar dan pedalaman untuk menimba pengalaman yang sukar diperoleh serta amat berguna.

    “Bagaimanapun, kita tidak lagi bertanyakan soalan tradisi ‘sanggupkah berkhidmat di mana-mana saja jika terpilih’ ketika temu duga kerana sudah boleh menjangkakan jawapan calon,” katanya.

    Sumber : Berita Harian 19/06/2008

  • #11 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    GIATMARA AMBILl 11,800 PELATIH SERTAI KURSUS
    Oleh Rosniza Mohd Taha

    36 program kemahiran, vokasional untuk lulusan PMR, SPM

    MARA menyediakan 11,800 tempat untuk lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti 36 program kemahiran dan vokasional di 208 GiatMara seluruh negara bagi sesi kemasukan bulan ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd Majid, berkata jumlah itu membabitkan penambahan 340 tempat berbanding tahun sebelumnya berikutan pembukaan 17 GiatMara baru.

    Katanya, antara GiatMara baru beroperasi ialah di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur; Kelana Jaya, Selangor; Batu Sapi, Sabah; Selangau, Sarawak; Air Hitam, Johor; Ketereh, Kelantan dan Bukit Bendera, Pulau Pinang.

    Sempena kemasukan bulan ini, katanya, satu kursus baru iaitu Grafik dan Animasi ditawarkan GiatMara Kelana Jaya menerusi kerjasama dengan syarikat swasta, Digi Logic.

    “Lazimnya, setiap GiatMara menawarkan tiga kursus membabitkan 60 pelatih. Namun, buat sementara waktu setiap GiatMara baru ini hanya menawarkan satu kursus saja iaitu membabitkan kira-kira 20 pelatih sebelum ia memiliki premis sendiri yang dijangkakan dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

    Meriyam berkata, antara kursus ditawarkan di GiatMara adalah Sivil, Elektrikal, Mekanikal, Automotif, Elektronik/ Mekatronik, Komputer dan Teknologi Maklumat, Fabrik, Percetakan, Marin, Penggayaan Rambut serta Kosmotogi.

    “Permohonan masih dibuka hingga kuota diwujudkan sudah dipenuhi. Borang permohonan boleh didapati di pejabat GiatMara negeri, GiatMara berhampiran atau menerusi laman web http://www.giatmara.edu.my.

    “Pelatih tidak dikenakan bayaran semasa pendaftaran dan sepanjang pengajian yang mengambil masa enam bulan hingga dua tahun, malah mereka menerima elaun sara hidup RM100 sebulan.

    “Kami bercadang memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menaikkan elaun berkenaan sekurang-kurangnya sama dengan pelatih kursus peringkat sijil di institut latihan lain iaitu RM210 sebulan,” katanya sambil menambah terdapat 9,921 pelatih sedang mengikuti kursus di GiatMara ketika ini.

    Syarat untuk memasuki GiatMara ialah Bumiputera yang boleh membaca, menulis serta minat untuk mengikuti kursus ditawarkan, selain lulus PMR dan SPM.

    Malah, hanya dua kursus yang memerlukan kelulusan SPM iaitu Mekanikal (Tool & Dye) serta Grafik dan Animasi, manakala baki 34 kursus hanya mensyaratkan calon berumur tidak kurang 15 tahun.

    Meriyam berkata, syarat itu ditetapkan bagi membolehkan pelajar kurang cemerlang dalam akademik meneroka potensi dalam bidang kemahiran dan vokasional, selain mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial.

    “Kewujudan kami bagi membolehkan pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan swasta mempelajari kemahiran tertentu supaya mereka juga boleh membina kerjaya dan berdikari walaupun tidak memiliki kelayakan akademik tinggi.

    “Malah, saya bersedia menerima murid Tahun Enam memasuki GiatMara jika didapati murid berkenaan memang tidak berminat dan tidak berkemampuan untuk meneruskan pelajaran di sekolah,” katanya.

    Sumber : Berita Harian 01/07/2008

  • #12 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    SEKOLAH BUKAN FAKTOR UTAMA CAPAI KEJAYAAN

    MENGHARUNGI kehidupan di asrama bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah pelajar terutama mereka yang tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

    Disiplin dan peraturan ketat menyebabkan sesetengahnya mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarga dan mengikuti pelajaran di sekolah harian biasa.

    Bagi ibu bapa pula, mereka berusaha memberikan yang terbaik untuk anak masing-masing, baik dari segi kemudahan pembelajaran mahupun sekolah.

    Pilihan mengikuti persekolahan di sekolah berasrama atau sekolah harian yang menjanjikan kehidupan selesa di rumah perlu dibuat secara bijak bagi memastikan kecemerlangan anak dapat dicapai.

    Surirumah, Nur Yasmin Zulkifli, berkata sama ada seseorang pelajar itu perlu tinggal di asrama atau rumah, semuanya bergantung kepada ibu bapa mereka.

    “Jika berasakan anak mereka sesuai tinggal di asrama, ibu bapa boleh berbuat demikian. Bagaimanapun, pada masa sama, ibu bapa perlu menilai sejauh mana disiplin anak mereka kerana apabila tinggal di asrama, pelajar kemungkinan berdepan pelbagai masalah sosial,” katanya.

    Justeru katanya, mereka perlu memastikan anak mereka memiliki disiplin tinggi supaya tidak mudah terpengaruh dengan gejala tidak sihat yang sering dikaitkan dengan pelajar yang tinggal di asrama.

    Permasalahan itu katanya, antara punca kepada kemerosotan pembelajaran pelajar yang wajar dibendung seawal mungkin.

    Bagi kakitangan swasta, Zamberi Zainal, persoalan sama ada pelajar lebih berjaya jika tinggal di rumah atau di asrama tidak timbul kerana tempat bukanlah penentu kejayaan seseorang pelajar.

    Sebalik katanya, usaha dan kesungguhan pelajar menjadi faktor utama yang mampu membawa kecemerlangan.
    “Asrama hanyalah wadah untuk meneroka kecemerlangan bukannya tempat meraih kejayaan mutlak.

    “Buktinya ada pelajar yang tinggal di rumah mampu mencapai keputusan dan kejayaan yang setaraf dengan pelajar asrama, malah lebih baik lagi,” katanya.

    Pegawai bank, Siti Asmah Mt Noor, bagaimanapun mengakui kehidupan pelajar di asrama banyak memberi kebaikan bukan saja kepada pelajar, malah ibu bapa.

    “Anak saya kini mengikuti pengajian di salah sebuah SBP di Selangor dan banyak perubahan berlaku pada dirinya sejak memasuki sekolah itu.

    “Dia kini lebih berdikari dan berdisiplin malah hubungan kami sekeluarga lebih mesra berbanding dulu. Dari segi pembelajaran, dia lebih fokus dan banyak menghabiskan masa untuk belajar.

    “Malah, rutin harian ketika di asrama turut terbawa-bawa setiap kali dia pulang bercuti di rumah dan turut dijadikan ikutan adik yang lain,” katanya.

    Sumber : Berita Harian 14/07/2008

  • #13 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    ASRAMA RUMAH KEDUA

    Latih pelajar berdisiplin, berdikari

    KISAH kejayaan dan kecemerlangan pelajar khususnya dari sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sering mengisi dada akhbar.

    Siapa tidak cemburu melihat kejayaan itu, sekali gus sukar mengikis tanggapan masyarakat terhadap institusi cemerlang itu yang sememangnya sinonim dengan kehidupan asrama berbanding pelajar sekolah harian yang majoritinya selesa tinggal di rumah.

    Kemudahan prasarana dan sistem pembelajaran teratur serta sistematik menjadi tarikan ibu bapa menghantar anak belajar di sekolah berasrama.

    Meskipun diakui keupayaan pencapaian akademik pelajar yang menjalani kehidupan di asrama, persoalannya, apakah hanya pelajar berkenaan saja mampu meraih kecemerlangan?

    Bagaimana pula dengan pelajar sekolah harian biasa, apakah mereka tidak mampu cemerlang sedangkan kurikulum yang dipelajari sama seperti diikuti pelajar di sekolah lain.

    Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Kementerian pelajaran, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, berkata pelajar yang tinggal di asrama mempunyai banyak ruang atau peluang untuk belajar.

    Katanya, menjadi sinonim di sekolah asrama adalah daya saing untuk belajar dan setiap pelajar bukan saja berlumba-lumba mencipta kejayaan malah kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing.

    “Suasana kehidupan di asrama sesuai untuk membentuk pelajar agar lebih berdisiplin dan berdikari memandangkan mereka terpaksa menguruskan diri sendiri dengan baik.

    “Begitu juga cabaran guru yang mendidik pelajar SBP, komitmen mereka amat setara dan tidak berbelah bahagi kerana berdepan dengan pelajar yang sangat komited dalam pelajaran.

    “Gabungan itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu kelebihan dalam mewujudkan persekitaran dan pembudayaan ilmu cemerlang,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

    Dari segi akademik, katanya, pencapaian pelajar SBP dalam Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah yang terbaik berbanding sekolah bukan SBP.

    Malah katanya, jumlah pelajar yang memperoleh pencapaian semua A dalam mata pelajaran turut mencatat peningkatan setiap tahun.

    “Ada yang menyoal mengapakah tidak ada pelajar SBP yang mendapat 17A1 dalam SPM? Jawapannya, kita mempunyai kriteria kecemerlangan akademik yang bersesuaian dan praktikal dengan tahap pengembangan psikologikal yang dilalui oleh peringkat umur pelajar. Oleh itu, pelajar SBP dibenarkan mengambil 10 kertas SPM saja,” katanya.

    Menyentuh mengenai cabaran kehidupan di asrama, Siti Zaleha berkata, tinggal di asrama memerlukan ketabahan dan pengorbanan termasuk terpaksa berjauhan daripada keluarga.

    “Inilah dugaan yang paling besar perlu dihadapi khususnya pelajar tingkatan satu kerana kebanyakan mereka tidak pernah berenggang dengan ibu bapa.

    “Di sinilah pelajar benar-benar diuji ketahanan mental serta emosi dan keupayaan mereka mengatasinya membuktikan kekuatan serta keyakinan berdepan cabaran pada masa depan,” katanya.

    Beliau turut mengakui kredibiliti SBP begitu kukuh sejak dulu lagi, seiring dengan tanggapan masyarakat yang menganggap SBP adalah tempat terbaik untuk mencerna kejayaan.

    Sumber : Berita Harian 14/07/2008

  • #14 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    DILEMA GURU
    Oleh Ruhaiza Rusmin

    USAHA memperkasakan sektor pendidikan ke peringkat global perlu dilaksanakan menerusi mekanisme sesuai bagi menjamin tahap kualiti sasaran mampu dicapai.

    Antaranya, meningkatkan mutu pendidikan, taraf kela yakan, prasarana asas, kualiti pendidik serta modul diguna pakai agar setara dengan piawaian ditetapkan.

    Namun, usaha ini lambat kerana terlalu banyak rungutan, polemik dan sikap guru yang tidak dedikasi atau bekerja semata-mata mahu mengelak menjadi penganggur terhor mat.

    Natijahnya, kredibiliti sektor pendidikan dipertikai dan dicemari unsur tidak telus menyebabkan segelintir ma syarakat hilang kepercayaan.

    Lebih memburukkan keadaan, pelajar juga semakin hilang hormat kepada guru manakala guru pula tidak mampu mengambil sebarang tindakan kerana terikat pelbagai per aturan.

    Senario ini memberi impak buruk kepada pendidik dan institusi pendidikan serta menggugat usaha memartabatkan profesionalisme ini ke peringkat tertinggi.

    Mengulasnya, konsultan pendidikan, Chiam Tah Wen, berkata persepsi negatif itu boleh membantutkan usaha meninggikan taraf pendidikan yang dirancang.

    Menurutnya, institusi pendidikan dan guru perlu menerima pengiktirafan tertinggi selain tidak boleh dicemari isu yang boleh menggugat kredibiliti ke peringkat global.

    “Sejak dulu lagi, masyarakat memandang tinggi guru dan institusi pendidikan kerana yakin mampu menjana pem bangunan bangsa pada masa depan.

    “Malangnya, isu, polemik dan insiden yang tercetus sejak kebelakangan ini bagai merentap kepercayaan itu hingga ada pihak hilang keyakinan.

    “Pendidikan perlu telus bagi menghasilkan kejayaan dan kegemilangan masa depan, ” katanya.

    Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu mengenai pendidikan dipaparkan media sehingga menimbulkan banyak persoalan di kalangan masyarakat.

    Dulu, institusi pendidikan dan guru boleh berjalan seiring tanpa kerenah birokrasi atau tentangan masyarakat.

    Bagaimanapun, katanya, perubahan zaman, tahap pen didikan, pendedahan serta mudahnya mendapat maklumat mengubah mentaliti masyarakat.

    Menurutnya, ibu bapa dulu sangat menyanjungi guru, manakala pelajar pula dididik supaya menganggap mereka insan perlu dihormati.

    “Situasi ini meningkatkan lagi nilai kualiti guru. Malangnya kini, keadaan berubah, malah ibu bapa lebih banyak men dengar kata anak selain kerap menyalahkan guru.

    “Ada segelintir guru bersikap tidak dedikasi ketika men jalankan tugas, hanya mengharapkan gaji bulanan semata- mata. Mereka enggan bertanya atau langsung tidak me ngambil berat, jurang dengan pelajar begitu jauh.

    “Apabila dua situasi ini bertemu, bagaimana kita meng harapkan institusi pendidikan berjalan lancar?

    “Jika berterusan dengan ego masing-masing, mangsanya ialah institusi pendidikan,” katanya.

    Beliau berkata, ada ibu bapa hanya mengharapkan guru mendidik anak mereka dan bersikap lepas tangan manakala guru pula kerana takut dimarahi atau dikenakan tindakan bersikap berdiam diri.

    “Justeru, di manakah penyelesaiannya?

    “Untuk melahirkan institusi pendidikan terbaik dan pelajar cemerlang, suasana harmoni perlu diwujudkan.

    “Saya percaya, apabila pihak tidak puas hati boleh me luahkan perasaannya, masalah boleh diatasi,” katanya.

    Menurutnya, guru perlu tahu hak, gunakan saluran betul untuk mempertahankan diri, kebenaran atau teraniaya. Ma nakala masyarakat atau ibu bapa jangan bersikap cepat menghukum, berjumpa atau bincanglah dengan baik.

    “Perbalahan boleh menyebabkan institusi persekolahan dan pendidikan serta masyarakat runtuh, ini merugikan negara dan bangsa.

    “Bagi menanganinya, kekangan atau masalah sedia ada perlu dibincangkan secara telus tanpa membabitkan emosi atau ‘kekuasaan’.

    “Ibu bapa perlu berfikiran terbuka jika anak mereka di hukum, selidik dulu sebelum mengambil apa jua tindakan.

    “Guru pula perlu tunjukkan kredibiliti sebagai golongan diamanahkan mencurah ilmu.

    “Jika semua pihak bersatu dan bekerjasama, saya yakin institusi pendidikan akan diangkat semula ke mercu seperti era 70-an,” katanya.

    Sumber : myMetro 31/07/2008

  • #15 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    ATASI ‘DISKRIMINASI’ GURU LULUSAN IPTA

    SERDANG 29 Julai – Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah ‘diskriminasi’ yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

    “Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.

    “Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru,” katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.

    IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

    KualitiMohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.

    “Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.

    “Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi,” jelasnya.

    Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.

    Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.

    “Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.

    “Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti,” jelasnya.

    Sumber : Utusan Online 30/07/2008

  • #16 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PPSMI: BELUM MUKTAMAD
    oLeh Hamden Ramli

    PUTRAJAYA 27 Ogos – Persidangan Meja Bulat Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini gagal mencapai keputusan sama ada dasar tersebut perlu diteruskan atau sebaliknya.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini kerana sebahagian peserta mahu PPSMI diteruskan manakala sebahagian lagi mahu ia kembali kepada asal.

    Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa lagi persidangan sebelum keputusan muktamad mengenainya diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada akhir Disember tahun ini.

    ”Kedudukan sekarang boleh dikatakan 50-50,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan persidangan itu di sini hari ini.

    Seramai 106 peserta mewakili 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 30 individu, sembilan agensi kerajaan, empat pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran, 17 pegawai serta pihak urus setia menyertai persidangan itu hari ini yang turut melibatkan pembentangan enam kertas kerja.

    Alimuddin berkata, kumpulan yang mewakili NGO berkaitan ekonomi dan ibu bapa mahu supaya dasar berkenaan diteruskan dengan alasan ia mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.

    Sebaliknya, peserta yang mewakili tokoh pendidik pula mahu pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu kerana berpendapat pelajar akan lebih mudah menguasai kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa ibunda.

    ”Terdapat juga pandangan yang berharap pindaan dibuat terhadap dasar ini supaya ia hanya dilaksanakan di sekolah menengah atau di tahap kedua sekolah rendah dengan alasan pengetahuan asas perlu diperkukuh di peringkat awal persekolahan,” katanya.

    Alimuddin berkata, bagi mendapatkan lebih banyak pandangan berhubung pelaksanaan PPSMI, kementerian akan menganjurkan persidangan sama Oktober ini membabitkan penyertaan guru dan pelajar.

    Selepas itu, ujarnya, pertemuan juga akan diadakan bersama ahli-ahli Parlimen bagi mendapat pandangan mereka berhubung PPSMI.

    Sementara itu, Alimuddin berkata, kejayaan PPSMI banyak bergantung kepada kesungguhan pengetua dan guru besar sekolah.

    ”Jika mereka sentiasa memberi penekanan bagi memastikan program ini dijalankan, ia akan dapat dilaksanakan dengan mudah ditambah dengan penguasaan guru dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

    Sumber : Utusan Online 28/08/2008

  • #17 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    SESI PERSEKOLAHAN 2009 BERMULA 4 JANUARI 2009

    KUALA LUMPUR 24 Sept. — Sesi persekolahan untuk tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah pada hari berikutnya.

    Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran mengenai kalendar persekolahan tahun depan, penggal pertama bagi sekolah-sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu ialah dari 13 Mac hingga 21 Mac, cuti pertengahan tahun dari 29 Mei hingga 13 Jun, cuti penggal kedua 21 Ogos hingga 29 Ogos, dan cuti akhir tahun dari 20 Nov hingga 2 Jan 2010.

    Bagi negeri-negeri lain, cuti penggal pertama bermula 14 Mac hingga 22 Mac; pertengahan tahun 30 Mei hingga 14 Jun; penggal kedua 22 Ogos hingga 30 Ogos, dan cuti akhir tahun dari 21 Nov hingga 3 Jan 2010.

    Menurut kementerian itu, jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah sebanyak 208 hari.

    — BERNAMA

  • #18 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    GURU CEMERLANG
    Oleh Rosniza Mohd Taha

    DALAM usaha memartabatkan profesion keguruan, jawatan Skim Guru Cemerlang diperkenalkan sejak 1994 sebagai insentif kepada guru berwibawa dalam bidang mata pelajaran masing-masing.

    Kewujudan jawatan itu membolehkan guru dinaikkan pangkat dalam jawatan yang sama dan terus mengajar supaya kepakarannya sebagai pendidik dimanfaatkan menerusi kecemerlangan peribadi, pengetahuan, kemahiran, kerja, komunikasi dan potensi.

    Skim Guru Cemerlang mendapat sambutan baik daripada guru lepasan diploma apabila kira-kira 97 peratus kuota jawatan berkenaan yang diwujudkan khusus bagi pendidik berkelayakan berkenaan, berjaya diisi.

    Timbalan Ketua Nazir (Operasi), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) Kementerian Pelajaran, Esah Jantan, berkata berdasarkan data Bahagian Sumber Manusia kementerian itu, seramai 3,904 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) menyandang jawatan Guru Cemerlang ketika ini daripada 4,000 kuota yang diwujudkan sejak Oktober 2006.

    Katanya, daripada jumlah itu, semua 800 kuota Guru Cemerlang PPPLD Gred DGA 34 berjaya dipenuhi, sementara 3,140 guru Gred DGA 32 kini menyandang jawatan berkenaan berbanding 3,200 kuota disediakan.

    “Kebanyakan perjawatan bagi Guru Cemerlang kedua-dua gred berkenaan sudah diisi calon berkelayakan dalam usaha meningkatkan profesionalisme perkhidmatan perguruan,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Guru Cemerlang di Cyberjaya, baru-baru ini.

    Sementara itu, Esah berkata, kira-kira 71 peratus kuota jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) masih belum dipenuhi apabila hanya 1,525 guru siswazah menyandang jawatan itu ketika ini berbanding 5,374 kuota diwujudkan.

    Daripada jumlah itu, katanya, 12 penyandang jawatan terdiri daripada PPPS Gred Khas C, Gred DG 54 (11), Gred DG 52 (133), Gred DG 48 (630) dan Gred DG 44 (739).

    Sejumlah 3,849 kekosongan kuota Guru Cemerlang PPPS masih perlu dipenuhi iaitu 12 guru Gred Khas C, Gred DG 54 (89), Gred DG 52 (117), Gred DG 48 (370) dan Gred DG 44 (3,261).

    “Masih banyak kekosongan Guru Cemerlang PPPS dalam proses pelantikan. Antaranya, 257 calon PPPS Gred DG 48 sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sementara 144 calon dalam semakan urus setia.

    “Seramai 706 calon PPPS Gred DG 44 sudah dikemukakan kepada JPA dan 534 lagi dalam semakan urus setia,” katanya.

    Esah berkata, penilaian Guru Cemerlang Gred DG 48 ke bawah diuruskan petugas khas di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, manakala Guru Cemerlang Gred DG52 ke atas diuruskan JNJK, sementara pelantikan, pemangkuan dan kenaikan pangkat guru berjawatan itu diuruskan Bahagian Sumber Manusia.

    Beliau berkata, cabaran untuk mendapatkan calon Guru Cemerlang amat dirasai berikutan beberapa faktor kekangan termasuk guru malu memohon, permohonan guru tidak diserahkan kepada kementerian kerana ketua jabatan mempunyai calon pilihan sendiri, penyebaran iklan dikatakan tidak sampai kepada guru dan tidak sanggup memikul tanggung jawab serta harapan tinggi terhadap pendidik berjawatan itu.

    Beliau berkata, ada juga guru yang menganggap mereka sudah berada di zon selesa dan tidak mahu ditukarkan, enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan serta tidak memahami falsafah kerjaya Guru Cemerlang.

    “Jika kita ingin melahirkan lebih ramai Guru Cemerlang, kekangan ini perlu ditangani semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran.

    “Pendidik khususnya perlu memiliki semangat memajukan diri dalam kerjaya dan sanggup memikul tanggung jawab sebagai Guru Cemerlang.

    “Guru Besar dan Pengetua pula perlu sentiasa memberi dorongan serta peluang kepada guru termasuk mengenal pasti dan mencalonkan pendidik di sekolah masing-masing sebagai Guru Cemerlang.

    “Perancangan perlu dibuat supaya setiap sekolah mempunyai bilangan Guru Cemerlang bersesuaian dengan jumlah dan taburan mengikut mata pelajaran,” katanya.

    FAKTA NOMBOR: Guru Cemerlang
    3,904 jawatan – Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma
    4,000 kuota – Jawatan diwujudkan untuk PPPLD
    1,525 jawatan- Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
    5,374 kuota – Jawatan diwujudkan untuk PPPS.

    Sumber : Berita Harian 20/10/2008

  • #19 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    Kementerian perlu kurangkan birokrasi lantik Guru Cemerlang
    Oleh Rosniza Mohd Taha

    KEMENTERIAN Pelajaran disaran mengurangkan birokrasi proses permohonan memasuki Skim Guru Cemerlang dengan membenarkan pendidik mengemukakan permohonan jawatan itu terus kepada Kementerian berkenaan.

    Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata proses permohonan ketika ini yang memerlukan guru menyalurkan permohonan mereka kepada pengurusan sekolah diikuti pejabat pelajaran daerah serta jabatan pelajaran negeri sebelum sampai kepada Kementerian bukan saja memakan masa lama malah dikhuatiri menyebabkan sekatan tidak sewajarnya di peringkat terbabit.

    Justeru, katanya, NUTP yang mewakili kira-kira 135,000 guru di seluruh negara mencadangkan pasukan petugas khas Skim Guru Cemerlang diwujudkan di peringkat Kementerian bagi mengendalikan sepenuhnya permohonan guru untuk jawatan berkenaan termasuk penerimaan permohonan, pemprosesan dan memaklumkan status permohonan.

    “Langkah Kementerian melonggarkan syarat permohonan Skim Guru Cemerlang dengan menetapkan pendidik memohon jawatan itu tidak perlu lagi menjalani pencerapan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti mulai tahun ini berjaya meningkatkan jumlah permohonan guru untuk jawatan berkenaan.

    “Namun, NUTP menerima aduan ada guru yang berminat memegang jawatan berkenaan tidak berpeluang memohon kerana tidak dicalonkan pengurusan sekolah masing-masing dan ada juga permohonan tidak sampai kepada Kementerian kerana disekat di peringkat tertentu.

    “Jika Kementerian Pelajaran mewujudkan pasukan petugas khas mengendalikan Skim Guru Cemerlang, guru boleh mengemukakan permohonan mereka terus, sekali gus mempercepatkan usaha memenuhi kuota jawatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Loke turut mencadangkan Kementerian mengeluarkan senarai guru yang memenuhi kriteria untuk memohon jawatan berkenaan serta mewujudkan saluran khas bagi mereka menyemak status permohonan untuk jawatan berkenaan.

    “Saluran khas menyemak status permohonan perlu diwujudkan bagi memudahkan guru mengetahui perkembangan permohonan mereka dan jika permohonan gagal, mohon Kementerian nyatakan juga puncanya supaya kelemahan dalam aspek itu boleh diperbaiki guru terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, penetapan syarat sedia ditukarkan ke sekolah lain antara kebimbangan utama di kalangan guru yang memohon jawatan berkenaan, namun beliau yakin pendidik bersedia memenuhi syarat itu jika dipindahkan ke kawasan berdekatan dengan sekolah asal.

    Sumber : Berita Harian 20/10/2008

  • #20 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PELAJAR MATRIKULASI TERUS CEMERLANG
    Oleh Khairina Yasin

    PENCAPAIAN pelajar Program Matrikulasi Satu Tahun Kementerian Pelajaran terus cemerlang apabila memperoleh 94.7 peratus, meningkat 0.8 berbanding 93.9 pada semester sebelumnya, daripada keseluruhan 21,877 calon yang menduduki peperiksaan semester satu 2008/2009.

    Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata 898 calon atau 4.1 peratus memperoleh status lulus bersyarat apabila mendapat purata nilai gred semester (PNGS) antara 1.50 hingga 1.99, manakala 265 atau 1.2 peratus lagi gagal dengan PNGS kurang 1.50.

    Katanya, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang mendahului kolej lain apabila 11.38 peratus calonnya memperoleh keputusan cemerlang PNGS 4.00, diikuti Kolej Matrikulasi Kedah (10.51 peratus) dan Kolej Matrikulasi Johor (10.12 peratus).

    “Dari segi pencapaian mengikut jurusan, calon jurusan Sains Fizikal cemerlang dengan kelulusan 94.8 peratus, manakala Sains Hayat, 92.6 peratus dan Perakaunan, 92.8 peratus.

    “Selain itu, empat mata pelajaran berjaya mencatat peningkatan dari segi peratus calon lulus keseluruhan iaitu Pengurusan Perniagaan, Biologi, Fizik dan Kimia.

    “Sejumlah 95.7 peratus calon lulus dalam mata pelajaran Pengurusan Perniagaan berbanding 93.5 peratus pada semester sebelumnya, Fizik 99.6 peratus (99.5 peratus), Biologi 93.5 peratus (88.9 peratus) dan Kimia 95 peratus (94.1 peratus),” katanya kepada Berita Harian.

    Sumber : Berita Harian 05/12/08

  • #21 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN – SATU PERJUANGAN IDEALISME
    Ditulis oleh PENDIDIK

    SESUATU bangsa yang bercita-cita besar dan luhur adalah bangsa yang mulia dan bermaruah. Kemuliaan, keluhuran dan ketinggian martabat tidak mungkin dapat dicapai tanpa perjuangan dan idealisme.

    Idealisme pula tidak mungkin terpancar tanpa falsafah. Falsafah hidup sesuatu bangsa merakamkan citarasa, wawasan dan pandangan hidup ingin dicapai dan dijayakan. Falsafah hidup dan kehidupan murni yang diidamkan tidak mungkin terserlah dan terlaksana tanpa pendidikan.

    Oleh itu, kehidupan dan pendidikan terikat dan berkait rapat. Pendidikan yang lengkap dan bermutu dapat menjamin pembentukan individu, masyarakat dan bangsa yang kuat serta mulia.

    Bangsa dan negara yang kuat serta mulia tidak bergantung kepada kekuatan fizikal yang bercorak kebendaan, termasuk teknologi, sematamata kerana kekuatan ini semata-mata tidak mencukupi.

    Sebaliknya, bangsa itu juga harus membina kekuatannya di atas asas budaya, ilmu pengetahuan, akhlak mulia, keyakinan diri yang teguh, semangat tanggungjawab serta pengorbanan diri yang tinggi. Pendek kata pendidikan yang disediakan harus dapat memenuhi pembangunan diri insan secara lengkap meliputi rohani, intelek dan jasmani.

    Sumber : Majalah Pendidik Dis. 2008

  • #22 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    INTEGRITI INTIPATI PENTING JAYA PIPP
    Ditulis oleh PENDIDIK

    KERTAS kerja bertajuk Mewujudkan Masyarakat Malaysia Berintegriti Melalui Sistem Pendidikan Berkesan ini dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sempena Sidang Plenary Konvensyen Integriti Nasional anjuran Institut Integriti Nasional (IIM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada tahun lalu.

    Sejak Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal pada 3 April 2004, pelaksanaan program ini sesungguhnya amat penting dan bermakna khususnya dalam melihat semula dan memantapkan usaha kita bersama bagi menjayakan agenda pembudayaan dan pengamalan etika serta integriti di negara ini dalam semua peringkat.

    Pendidikan adalah salah satu komponen atau asas penting yang boleh menjadi wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Kita perlu bersikap adil dengan tidak menafikan bahawa agenda ini terkandung dalam sistem pendidikan kebangsaan.

    Malah Falsafah Pendidikan Negara (FPN) secara jelas menggariskan matlamat untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dam jasmani Falsafah ini kemudiannya diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara dengan pelbagai strategi dan pendekatan.

    Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu bersifat terbuka dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

    Sumber : Majalah Pendidik Dis. 2008

  • #23 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    SIHAT, CERGAS KUNCI KEJAYAAN
    Ditulis oleh DATUK HASSAN HASHIM

    SEPANJANG 12 keluaran yang lalu menerusi ruangan ini, saya berusaha memaparkan bahawa dalam situasi apa pun, sekiranya kita bersungguh-sungguh, matlamat yang dicari insyaAllah akan tercapai.

    Ramai orang hanya mengambil jalan mudah apabila menghadapi masalah, tekanan dan kesukaran. Lantas mereka memberi pelbagai alasan bagi menjustifikasikan kegagalan mereka. Selalunya alasan yang diberi bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab untuk terus berusaha.

    Dalam mencapai sesuatu kejayaan, 70 peratus daripadanya ditentukan oleh sikap berbanding pengalaman (20 peratus) dan kelulusan (10 peratus). Oleh itu, orang yang mempunyai sikap positif, mampu menjana kecemerlangan. Selain sikap positif, pengalaman luas dan pengetahuan tinggi, sebenarnya ada satu lagi faktor yang menjadi penentu kejayaan seseorang. Bagaimanapun, ramai tidak menyedarinya bahawa faktor itu lebih penting, mengatasi ketiga-tiga faktor di atas.

    Faktor itu ialah kesihatan dan kecergasan. Walaupun seseorang itu memiliki sikap yang sangat positif, pengalaman yang banyak dan kelulusan yang tinggi, tanpa kesihatan dan kecergasan, ia tidak mampu mencapai hasrat dan cita-citanya ke tahap maksimum. Hanya orang yang sihat dan cergas saja yang berfikiran positif dan mempunyai budaya kerja yang tinggi.

    Orang yang sihat, tidak semestinya cergas, kerana untuk menjadi cergas seseorang itu perlu berusaha untuk mendapatkannya. Kecergasan tidak boleh dibeli di mana-mana, walaupun kita berkemampuan berbuat demikian. Orang yang cergas mempunyai tenaga yang lebih dan mereka tidak letih, malah mempergunakan tenaga yang lebih itu untuk bekerja lebih.

    Sumber : Majalah Pendidik Jan. 2008

  • #24 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    TAHAP PEMBELAJARAN
    Oleh Norliza Abdullah

    Murid lambat berkembang berpotensi cemerlang akademik jika diberi bimbingan berterusan

    PELBAGAI pihak termasuk ibu bapa sering membeza-bezakan layanan terhadap kanak-kanak dengan mengukur kehebatan mereka menerusi pencapaian akademik. Bagi yang dikategorikan sebagai lemah pastinya kurang mendapat perhatian.

    Senario sebegini boleh menyumbang kepada pelbagai reaksi terhadap kanak-kanak terbabit kerana masing-masing terutama yang lemah beranggapan seolah-olah tidak dipedulikan.

    Bagaimanapun, tanpa disedari golongan sedemikian pastinya memeranjatkan rakan sekolah atau individu di sekelilingnya satu hari nanti kerana berjaya memegang kedudukan tinggi dalam sesebuah organisasi.

    Pakar mengkategorikan golongan ini sebagai ‘late bloomer’ atau individu yang lambat berkembang tetapi mereka akan mencapai kejayaan pada masa yang dijangkakan.

    Menyedari wujudnya golongan sedemikian, Kementerian Pelajaran memperkenalkan program khas dengan menyediakan kelas tambahan kepada murid Tahun Empat, Lima dan Enam yang dikenali sebagai Skim Bantuan Tuisyen yang sebelumnya Skim Baucar Tuisyen.

    Ia membabitkan murid lemah serta datang daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk anak Orang Asli. Kelas bimbingan tambahan itu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk mengambil kira pelbagai aspek pembelajaran.

    Ini kerana murid yang dikategorikan sedemikian bukan hanya memerlukan bantuan pendidikan semata-mata tetapi semangat dan motivasi.

    Kajian mendapati golongan ini menyumbang 10 peratus daripada keseluruhan populasi murid yang ada di negara ini.

    Walaupun jumlahnya kecil namun masing-masing memerlukan perhatian wajar supaya tumpuan mereka di bilik darjah dapat dipantau dan bimbingan berterusan pastinya memberi peluang mereka berjaya.

    Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kepelbagaian Pelajar, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia yakin golongan minoriti ini berpotensi maju dalam bidang akademik jika diberi bimbingan berterusan.

    Pengarahnya, Prof Datin Seri Dr Rohaty Mohd Mazjub, berkata prestasi setiap individu itu berbeza dan mempunyai keistimewaan yang bersifat subjektif.

    Beliau berkata, mereka mempunyai keupayaan yang berbeza dan keadaan ini disumbang pelbagai faktor antaranya persekitaran.

    Faktor berkenaan katanya, termasuk kedudukan lokasi sekolah sama ada di bandar mahupun luar bandar, tahap sosio ekonomi keluarga, paras kecerdasan, kesediaan mereka ke sekolah, persiapan ketika berada di tadika, jantina dan aras motivasi.

    “Tidak adil jika ibu bapa membandingkan anak mereka dengan anak jiran atau saudara mara kerana prestasi awal setiap kanak-kanak tidak stabil. Tanpa disedari golongan ini adalah di kalangan `late bloomers’.

    “Lazimnya, individu sedemikian didapati lemah pencapaian akademik di sekolah rendah tetapi terus melonjak di sekolah menengah hingga melayakkan mereka ke menara gading,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Bagi memastikan golongan ini terus dibimbing dan mendapat kesamarataan dalam proses pembelajaran di peringkat sekolah rendah, Rohaty berkata, program tambahan seperti tuisyen yang diperkenalkan adalah langkah paling berkesan.

    Beliau yang memenangi Hadiah Intervensi di Geneva pada 2005 dalam melaksanakan kajian mengenai kesediaan ke sekolah berkata, wujud perbezaan setiap individu terutama bagi mereka yang bersekolah di bandar dan luar bandar.

    “Hasil kajian mendapati murid di bandar mempunyai semangat serta keinginan yang lebih untuk mengetahui dengan mendalam, selain keyakinan tinggi.

    “Pendedahan awal kepada teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan mereka menjalani proses pembelajaran secara lebih berkesan yang tidak dinikmati rakan di luar bandar,” katanya.

    Bagi memenuhi tanggungjawab sosial dalam meningkatkan kualiti pembelajaran kepada golongan individu yang pelbagai ini, Rohaty berkata, pihaknya menganjurkan persidangan di peringkat antarabangsa membincangkan permasalahan ini.

    Program membabitkan semua warga pendidik, penyelidik sosial, penyedia polisi kerajaan, pekerja sosial dan badan bukan kerajaan mengumpul ilmu untuk diserapkan dalam sistem pendidikan bagi memastikan semua individu mendapat hak menerusi proses pembelajaran berkesan.

    Sumber : Berita Harian Online 09.02.2009

  • #25 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    PERUBAHAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA
    Ditulis oleh Dr Awang Hud Abang Engkeh

    SELURUH negara maju di dunia sedang melaksanakan perubahan pendidikan ke arah pembinaan generasi baru yang akan menghadapi cabaran baru abad ke 21. Dalam konteks Malaysia, dasar dan sistem pendidikan kebangsaan sudah mengalami satu sejarah perubahan yang panjang. Sehubungan itu, pelbagai sudut digunakan oleh penganalisis untuk menganalisis perubahan pendidikan yang berlaku di Malaysia.

    Pada satu pihak, Kementerian Pelajaran melihat perubahan itu sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Atas sebab itu perubahan pendidikan di Malaysia berlaku dalam lima fasa iaitu zaman Pramerdeka (sebelum 1957), zaman Pasca merdeka (1957-1970), zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010).

    Sufean Hussin dalam bukunya, Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia: Teori dan Analisis, melihat perubahan itu berdasarkan trend mental masyarakat. Dengan itu, beliau membahagikan perubahan dasar dan sistem pendidikan di Malaysia kepada empat era utama iaitu era kolonial (1800-1945), era nasionalisme (1945-1967), era intergrasi nasional (1967-1990) dan era globalisasi (1990-2000).

    Sumber : Majalah Pendidik Mac 2009

  • #26 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    BUDAYA SEKOLAH PENGARUHI KEBERKESANAN PENGAJARAN
    Ditulis oleh Alimuddin Mohd Dom

    BUDAYA sekolah adalah suatu sistem sosial yang kompleks. Walaupun bilik darjah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar, ia sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada sistem sosial di sekolah. Guru sebenarnya, bukan sahaja memerlukan suasana bilik darjah yang kondusif dan menarik bagi menyampaikan pengajaran berkesan tetapi juga, suasana dan persekitaran sekolah yang teratur dan terurus dengan baik.

    Membentuk budaya dan iklim sekolah yang baik adalah tanggungjawab pengetua dan guru besar. Mereka perlu sering membuat pemantauan, pencerapan, pemerhatian dan penyeliaan di seluruh kawasan sekolah supaya persekitarannya sentiasa berada dalam keadaan teratur, kemas dan bersih. Pelajar perlu kelihatan ceria, gembira dan sentiasa bersedia untuk mengikuti pengajaran guru. Di samping itu, guru juga hendaklah kelihatan ceria, bersemangat dan sentiasa bersiap sedia untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar mereka. Dengan kata lain, budaya sekolah yang baik turut membantu dan menyokong keberkesanan pengajaran guru di bilik darjah.

    Sumber : Majalah Pendidik Mac 2009

  • #27 written by aishah
    about 5 years ago

    cikgu, sy seorang pelajar sekolah menengah.
    sy ingin meminta pendapat cikgu. apakah cikgu rasa bahawa cuti penggal persekolahan wajar dipendekkan ?
    sy mohon budi baik cikgu untuk membalas soalan saya kepada email sy. maaf jikalau saya menyusahkan cikgu.

    terima kasih.
    assalamualaikum.

  • #28 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    Aishah,

    Pada pandangan Cg, cuti yang sedia ada telah dirancang dengan teliti oleh KPM adalah terbaik kerana telah mengambil kira beberapa faktor lain yang berkaitan. Apa yang penting bukannya panjang atau pendek cuti tersebut, TETAPI pengisiannya dengan perancangan, program, aktiviti yang berguna dan berkualiti.

  • #29 written by hadi
    about 5 years ago

    ckg,
    Seseorang bagitau saya yang pada masa dahulu hari bekerja adalah 6 hari seminggu.
    Betul ke?Kalau betul boleh cikgu bagitau bila dan mengapa?
    Saya mohon bantuan daripada cikgu.

  • #30 written by farzana
    about 5 years ago

    assalamualaikum cikgu
    saya pelajar sekolah menengah dan saya menyertai pasukan bahas…apa pendapat cikgu sekiranya cikgu adalah pihak pencadang mengenai usul yang bertajuk cuti penggal persekolahan wajar dipendekkan……apakah hujah cikgu untuk menyokong usul tersebut?saya telah berusaha untuk mencarinya di internet tetapi tiada.harap cikgu dapat membantu

  • #31 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    Hadi,

    Cg kemukakan keratan akhbar pada 17 Jun 2005, sila baca dan dapatkan jawapan daripada petikan berikut:

    KERJA LIMA HARI MULAI 1 JULAI 2005
    Oleh Wan Hazmir Bakar

    KUALA LIPIS: Sistem waktu kerja lima hari seminggu bagi sektor awam akan dimulakan 1 Julai 2005, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Pekeliling rasmi akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, bagi menjelaskan perkara itu.

    Najib mengumumkan demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang baru Mieco Chipboard Berhad di Kechau Tui dekat sini, semalam.

    Kenyataan itu adalah susulan persetujuan kerajaan melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam amanatnya sempena sambutan Hari Pekerja Sektor Awam, akhir bulan lalu.

    Ketika ini, kakitangan awam bekerja lapan jam sehari mulai Isnin hingga Jumaat dan separuh hari pada Sabtu (kecuali Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan), manakala di Terengganu, Kelantan dan Kedah dari Ahad hingga Rabu dan Khamis separuh hari.

    Berikutan pelaksanaan sistem waktu kerja lima hari seminggu, kakitangan awam dijangka memulakan waktu kerja lebih awal dan pulang lebih lewat berbanding sekarang.

    Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara dilaporkan berkata, waktu kerja kakitangan awam mungkin ditambah setengah jam sehari daripada lapan jam pada masa ini.

    Mengulas lanjut, Najib berharap negeri yang bercuti pada Jumaat dan Khamis separuh hari, menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu bagi memberi lebih waktu untuk berurusan dengan Kerajaan Pusat.

    “Kita nak galak negeri yang bercuti Jumaat supaya memilih Jumaat dan Sabtu sebagai cuti umum supaya dengan ini bererti empat hari mereka boleh berurusan dengan kerajaan Pusat,” katanya.

    Ditanya apakah kerajaan bercadang menyelaraskan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bagi semua negeri, Najib berkata kerajaan Pusat menyerahkannya kepada kerajaan negeri terbabit untuk menentukannya.

  • #32 written by hadi
    about 5 years ago

    ckg,
    saya ni sama la mcm farzana,
    tp saya jadi pembangkang….
    kalu blh saya nk tau isi atau statistik utk isu tersebut…

  • #33 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    Hadi & farzana,

    Maaf, tumpuan Cg hanya kepada Prinsip Perakaunan sahaja. Jika berkaitan dengan Bahasa Malaysia sila layari blog2 atau laman BM, sesungguhnya guru2 BM lebih arif mengenainya. Antara laman BM yang Cg tahu ialah:
    1. Laman Bahasa Malaysia SPM di http://www.bmspm.net/
    2. Kelas Bahasa Melayu Maya di http://www.bmmaya.blogspot.com/

  • #34 written by hadi
    about 5 years ago

    terima kasih cikgu…..

  • #35 written by Cg Narzuki
    about 5 years ago

    APLIKASI BLOG DEKATKAN GURU DAN PELAJAR
    Ditulis oleh MADZLINA NORDIN

    APLIKASI blog semakin popular dan menjadi trend terkini komunikasi yang interaktif di alam siber masa kini. Jika sebelum ini emel menjadi penghubung paling efisien, kini kewujudan blog menjadikan dunia komunikasi maya semakin kompleks, moden dan menarik.

    Setakat ini terdapat lebih 120 juta blog di seluruh dunia dan jumlah itu semakin meningkat dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Jepun, Arab, Melayu, Jerman dan Tamil. Kewujudan blog juga merancakkan lagi dimensi dan aplikasi bahasa utama dunia dalam pelbagai aspek terutama sistem pendidikan sesebuah negara.

    Blog berkembang seiring dengan kedinamikan, keterbukaan serta keglobalan bahasa dunia dan wahana bahasa juga menjadi landasan paling penting kepada asas dan teras kewujudan blog sejak dahulu lagi. Tanpa fungsi bahasa, blog tidak membawa sebarang makna kepada kita kerana melalui bahasalah kita dapat memahami dan mengerti apa itu blog dan kandungannya.

    Blog berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu web log dan dipendekkan kepada blog sahaja oleh pengamal dan pengendali terawal laman blog Amerika Syarikat. Setakat ini perkataan itu belum lagi didaftarkan dalam Kamus Dewan, namun aplikasinya semakin rancak dan giat digunakan secara meluas di negara kita merangkumi pelbagai konteks dan variasi.

    Blog seolah-olah sebuah buku catatan harian peribadi atau jurnal dalam talian dan sangat unik, yang membolehkan pembaca maya meninggalkan ulasan dalam bentuk format interaktif. Ini mewujudkan komunikasi dua hala dan segala catatan, idea atau apa sahaja dapat dikongsi dengan jutaan pelayar maya lain melalui ledakan teknologi terbaru ini. Blog juga umpama laman web peribadi yang boleh dibina secara percuma, mudah dan praktikal.

    Sumber : Majalah Pendidik April 2009

  • #36 written by YM Teo
    about 4 years ago

    selamat petang cikgu.. saya nak tanya apakah pelan tindakan yang boleh saya laksanakan untuk mewujudkan persekitaran yang mesra budaya untuk sekolah rendah orang asli dan pedalaman… terima kasih…

  • #37 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    YM Teo,

    Selamat petang, maaf diluar pengetahuan saya. Namun saya cadangkan saudara layari laman Jabatan Ehwal Orang Asli, semoga ianya sedikit sebanyak dapat membantu saudara menyediakan pelan tindakan tersebut.

  • #38 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    KENANG JASA DAN PENGORBANAN GURU SEPANJANG HAYAT
    Oleh Zainor Said

    HARI Guru yang bakal disambut esok, sekali lagi mengingatkan kita akan besarnya jasa serta pengorbanan insan yang bergelar pendidik.

    Hari Guru bukan saja harus diraikan warga pendidik, malah semua pihak terutama golongan pelajar, mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan serta ibu bapa harus sama-sama menghayatinya, walaupun ia adalah hari yang istimewa khusus buat golongan guru.

    Bagi pelajar yang masih bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti yang diimpikan setiap ibu bapa.

    Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa, selagi ia tidak bertentangan dengan jalan kebaikan. Jarang berlaku dalam sejarah peradaban manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan, walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi ia adalah semata-mata demi kebaikan.

    Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah telah meletakkan diri mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru.

    Setiap insan tentunya mahu mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

    Pada hari ini, segala kenangan sewaktu berada di sekolah akan kembali bermain di fikiran ramai insan dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan betapa besarnya peranan guru.

    Bagi ibu bapa pula, rasa hormat kepada guru harus sentiasa ditanam dalam jiwa mereka agar ia menjadi contoh dan ikutan anak masing-masing agar tidak bersikap biadap terhadap guru. Setiap ibu bapa yang tahu menghormati dan menghargai jasa guru, tidak mungkin menyemai sifat benci terhadap guru dalam jiwa anak-anak, tidak kira apa bangsa sekali pun.

    Jika mereka sanggup menyerahkan amanah mendidik anak mereka kepada guru, tiada sebab ibu bapa curiga dengan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal, sebaliknya merekalah orang paling bangga dan gembira apabila anak didik mereka berjaya .

    Setiap kali Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei diraikan, pelbagai acara diadakan termasuk perayaan di peringkat kebangsaan dengan menampilkan pelbagai anugerah sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.

    Di peringkat sekolah pula, pelajar serta ibu bapa tidak melepas peluang untuk menyatakan penghargaan dengan memberikan cenderamata kepada guru kesayangan mereka. Apa yang penting bukanlah nilai hadiah yang diberikan, tetapi ia menjadi tanda ingatan dan simbolik penghargaan pelajar terhadap jasa guru yang mengajar mereka selama ini.

    Amalan itu merupakan nilai murni yang harus dipupuk, ditanam dan disuburkan dalam jiwa setiap pelajar sejak kecil. Jika ia terus menjadi amalan, kita yakin perasaan kasih terhadap guru mereka akan terus subur sehingga mereka meninggalkan alam persekolahan.

    Sikap memuja dan mengagungkan golongan tertentu secara berlebihan sehingga menyebabkan mereka lupa terhadap golongan yang lebih banyak berjasa dalam mendidik sehingga lahir sebagai insan kamil dan berjaya tidak harus menjadi budaya. Guru sebenarnya tidak mengharapkan sebarang ihsan atau balasan daripada anak didik mereka. Apa yang akan membanggakan mereka dan rasa dihargai adalah kejayaan anak didik dalam pelajaran dan keluar menjadi manusia berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

    Guru biasanya tidak mudah lupa dengan bekas pelajarnya yang berjaya walaupun setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya pelajarlah yang sering lupa terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

    Tanyalah pada diri sendiri, masihkah ingat kepada guru yang pernah mengajar kita suatu ketika dahulu. Adakah masih bertemu dan menziarahi mereka (jika masih ada) apabila pulang ke kampung halaman atau mendoakan kesejahteraan mereka seperti kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita.

    Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, Sekolah Menengah Simpang Ampat dan Bukit Mertajam High School.

    Jutaan terima kasih juga kepada semua guru yang pernah dan masih mendidik anak-anak saya di Sekolah Kebangsaan St Mary dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary.

    Tidak lupa juga kepada semua guru yang terbabit dalam program pendidikan anjuran Unit Pendidikan, Berita Harian, khususnya menerusi program Klinik UPSR, Seminar PMR dan Seminar SPM. Sekalung penghargaan kepada semua guru yang terbabit.

    Sumber : Berita Harian Online 15/05/2009

  • #39 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    PEMBINA NEGARA BANGSA AMANAH WARGA GURU
    Ditulis oleh Srihanasham Noordin

    SEBAGAI tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru, kerajaan meluluskan pertambahan kuota guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah.

    • Guru Cemerlang Gred Khas C ditambah daripada 24 kepada 36
    • Guru Cemerlang Gred DG54 ditambah daripada 100 kepada 134
    • Guru Cemerlang Gred DG52 ditambah daripada 250 kepada 336
    • Guru Cemerlang Gred DG48 ditambah daripada 1,000 kepada 1,345
    • Guru Cemerlang Gred DG44 ditambah daripada 4,000 kepada 5,379
    • Pengetua Cemerlang Gred JUSA C daripada 10 kepada 20 jawatan iaitu pertambahan 100 peratus
    • Pengetua Cemerlang Gred DG54 pula ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan
    • Pengetua Cemerlang Gred DG52 dikekalkan sebanyak 400 jawatan

    Insentif di atas diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di majlis perasmian sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Terengganu pada 16 Mei lalu.

    Prospek laluan kerjaya bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan itu diberikan sebagai mengiktiraf betapa pentingnya aspek kebajikan guru dan insentif yang boleh mendorong mereka untuk terus mengamalkan budaya kerja cemerlang.

    Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju mewujudkan beberapa jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah iaitu:
    • Guru Cemerlang Gred DG48 sebanyak 173 jawatan
    • Guru Cemerlang Gred DG44 sebanyak 1,737 jawatan

    Sumber : Majalah Pendidik Julai 2009

  • #40 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    NILAI SENDIRI PELAJAR
    Oleh Norliza Abdullah

    Proses penilaian peringkat sekolah meningkatkan kredibiliti guru dalam memantau prestasi murid

    SISTEM penilaian peringkat sekolah yang akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran menggantikan kaedah dilaksanakan ketika ini meningkatkan kredibiliti seseorang guru yang juga bertindak penilai prestasi pelajar.

    Penilaian dan markah peperiksaan akan diambil kira dalam memberikan pelajar gred sebagai keputusan yang menentukan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan.

    Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Siti Rahaya Ariffin, berkata penilaian peringkat sekolah membolehkan guru menilai prestasi serta membimbing murid tadi untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses pembelajaran.

    Beliau berkata, bagi melaksanakan sistem ini, guru perlu terbuka dalam menilai pencapaian murid kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang dapat dilihat guru.

    Proses ini, katanya memerlukan latihan, selain modul khas yang perlu dijadikan panduan dalam melaksanakan kaedah berkenaan.

    “Jika guru sudah dilatih menilai berasaskan sekolah, ia lebih baik kerana mereka yang paling rapat dengan pelajar. Pendekatan ini membolehkan guru memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

    “Ia penting kerana pelajar berada di landasan tepat mencapai kejayaan,” katanya kepada Berita Harian.

    Menerusi kaedah ini, Siti Rahaya berkata, guru boleh menyediakan ujian berdasarkan prestasi pelajar. Bagi murid cerdas mereka boleh menjawab soalan yang lebih mencabar berbanding dilaksanakan menerusi sistem peperiksaan berpusat.

    Wajar katanya, jika kaedah penilaian ini dilaksanakan secara saksama iaitu 50 peratus berasaskan penilaian dan peperiksaan.

    “Kementerian Pelajaran ada mengadakan perbincangan dalam usaha memberikan latihan kepada guru, sekali gus membolehkan mereka mendapat gambaran tepat mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

    “Guru didedahkan dengan kemahiran proses penilaian mengikut kriteria ditetapkan berasaskan penanda aras yang sesuai dengan tahap pencapaian murid. Ini termasuk penilaian terhadap kesungguhan serta inisiatif pelajar ketika belajar,” katanya.

    Di peringkat universiti pula, Siti Rahaya berkata, pihaknya yang melahirkan sekitar 3,000 guru setahun sudah menyiapkan graduan kemahiran menilai pelajar berdasarkan prestasi masing-masing.

    Beliau berkata, kemahiran diperoleh graduan itu dapat dilaksanakan di peringkat sekolah membabitkan ujian bulanan mahupun peperiksaan penggal.

    Menerusi transformasi ini, katanya, diharapkan kemahiran itu dikembangkan dengan menilai prestasi pelajar secara keseluruhan.

    Penilaian dikenali peperiksaan formatif itu menguji pelajar pada peringkat pertama setiap sesi persekolahan. Ia diikuti peperiksaan summatif iaitu ujian formal yang menentukan tahap sebenar pencapaian pelajar.

    Kedua-dua peperiksaan itu membolehkan pelajar diuji dalam dua kategori penilaian, sekali gus memastikan pelajar bersedia sama ada menerusi ujian di peringkat sekolah mahupun pusat.

    Penilaian ini, kata Rahaya, sudah dilaksanakan dalam sistem persekolahan di kebanyakan negara maju antaranya, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebahagian negara di Eropah.

    Di sana beliau berkata, guru sentiasa memastikan perkembangan pelajar berdasarkan prestasi mereka sama ada di dalam kelas mahu ketika menjayakan projek. Semua aktiviti mendapat markah yang kemudian dinilai sebagai keputusan akhir pencapaian dan diberikan gred.

    “Saya mengharapkan sistem penilaian peringkat sekolah ini memberi peluang guru mengenal pelajar masing-masing dengan lebih dekat.

    “Diharapkan guru menilai dengan penuh tanggungjawab, selain jujur, telus dan tidak membelakangkan etika perguruan dengan mengenepikan rasa pilih kasih kerana penilaian mereka penentu masa depan pelajar,” katanya.

    Sumber : Berita Harian Online 08/06/09

  • #41 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    PELUANG BAIKI KELEMAHAN MURID

    SISTEM penilaian peringkat sekolah yang bakal dilaksanakan menggantikan sistem yang ada kini memberi peluang guru menilai sendiri prestasi pelajar mereka berdasarkan kesungguhan mereka menjalankan tugasan.

    Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim, Perak, Zaleha Ahmad, berkata kaedah itu sebagai amanah kepada guru yang menilai pelajar.

    Beliau berkata, sistem itu juga memberi peluang guru memperbaiki kelemahan murid dan membimbing mereka dalam mencapai kejayaan.

    Katanya, walaupun ia menambah tugas sedia ada, berbanding mengajar, amanah yang diberikan semakin besar, sekali gus menuntut kesabaran serta kecekalan dalam melaksanakan tugas dengan dedikasi.

    Bagi mengurangkan beban, Zaleha berkata, guru memerlukan modul khas dalam proses menilai prestasi pelajar berdasarkan kecekapan dan pencapaian setiap individu.

    Walaupun keadaan ini mungkin menimbulkan masalah, namun diharapkan lama kelamaan ia menjadi mudah dan proses penilaian memberi kebaikan semua pihak terutama pelajar.

    “Kami di peringkat sekolah menunggu garis panduan daripada jabatan pelajaran negeri mengenai standard mengukur prestasi pelajar.

    “Garis panduan itu perlu standard dan dapat diguna pakai sekolah seluruh negara, sejajar silibus,” katanya ketika ditemui di Behrang, baru-baru ini.

    Sementara itu, guru SK Kuala Kubu Bahru, Selangor, Norasikin Mohamad, berkata pihaknya bersedia melaksanakan proses penilaian berkenaan.

    Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya sudah melaksanakan proses penilaian berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka dalam setiap ujian bulanan mahupun peperiksaan pertengahan tahun.

    Penilaian ini hanya di peringkat sekolah kerana pada penghujung tahun terutama bagi murid Tahun Enam, mereka akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

    “Lazimnya berdasarkan penilaian awal itu, guru dapat mengenal pasti kelemahan murid dan membantu mereka meningkatkan prestasi dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada mata pelajaran yang lemah,” katanya.

    Norasikin berkata, pihaknya mengharapkan kementerian menyediakan latihan dari semasa ke semasa. Persediaan ini membolehkan guru bersedia dari segi fizikal dan mental.

    “Segala markah dinilai akan dibawa ke peringkat pusat untuk digabungkan dengan keputusan peperiksaan akhir. Keputusan ini bakal menjadi penanda aras pencapaian pelajar.

    “Keputusan diumumkan dalam bentuk gred ini melayakkan murid untuk memohon mendapatkan sekolah berasrama penuh bagi lulusan UPSR dan ke universiti bagi pelajar Tingkatan Lima,” katanya.

    Sistem ini, kata Norasikin adil kerana tahap pencapaian setiap murid berbeza. Ada kalanya mereka mencapai keputusan baik ketika di Tahun Satu tetapi merosot pada tahun dua atau sebaliknya.

    “Turun naik pencapai murid dapat dikesan lebih awal dan guru akan memberi tumpuan lebih kepada subjek yang memerlukan bimbingan tambahan.

    “Jika prestasi dinilai berdasarkan peperiksaan semata-mata, dikhuatiri ada individu yang tidak dapat memberikan yang terbaik ketika peperiksaan mungkin disebabkan pelbagai faktor antaranya kesihatan atau masalah di sekelilingnya.

    “Sepanjang proses penilaian ini juga guru dapat mengesan kelebihan yang ada pada murid berkenaan sama ada bakat terpendam atau kebolehan seni yang ada untuk dikembangkan,” katanya.

    Sumber : Berita Harian Online 08/06/09

  • #42 written by anuwar mohamad
    about 4 years ago

    salmm…
    tuan ada tak pekeliling cuti sabtu mggu 1 & 3 untuk guru

  • #43 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    Anuwar,

    Maaf, tidak ada dalam simpanan pekeliling tersebut. Cuba cari di laman MOE : Pekeliling kot2 ada disana.

  • #44 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    11,000 PEMBANTU GURU DIPERLUKAN
    Oleh Mohd Azis Ngah

    Laksana tugas perkeranian, kokurikulum

    KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan ‘kerja sosial’ di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

    Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.

    Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.

    Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

    “Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.

    “Guru tidak lagi perlu memikirkan soal ‘kerja sosial’ dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

    “Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.

    “Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

    Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.

    Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.

    Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.

    “Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek,” katanya.

    NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

    “Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, ” katanya.

    Sumber : Berita Harian Online Jun 2009.

  • #45 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    PETA MINDA BANTU PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN

    PETALING JAYA 30 Jun – Pelajar perlu lebih kreatif dalam proses pembelajaran pada era kecerdasan dan kepandaian minda hari ini.

    Sehubungan itu, Pearson Malaysia Sdn. Bhd. (Pearson) menggunakan pendekatan kaedah peta minda dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

    Pengarah Penerbitannya, Carol Wong berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pereka kaedah peta minda, Tony Buzan dalam mengeluarkan buku bagi memudahkan proses pembelajaran.

    “Buzan merupakan individu yang mereka cipta kaedah peta minda. Kerjasama dengannya membolehkan teknik ini disampaikan kepada pelajar dengan lebih tepat,” katanya selepas majlis pelancaran buku Buzan Mind Maps for Science Form 1 di Hotel Eastin di sini, semalam.

    Majlis pelancaran buku turut disertai Buzan dan penulis buku tersebut, Cyntia Y. Dass, Christopher Tiew, Tam Lye Suan dan Thomas A. Richards.

    Menurut Carol, Pearson telah berhubung dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan buku ini diguna pakai di sekolah-sekolah seluruh negara.

    “Buku itu ditulis mengikut sukatan mata pelajaran Sains tingkatan satu, maka pelajar boleh menggunakannya dengan mudah,” katanya.

    Tambah beliau, ia merupakan buku pertama berkonsepkan kaedah itu dan buku bagi mata pelajaran lain juga akan turut dikeluarkan tidak lama lagi.

    Menurutnya, harga seunit buku tersebut ialah RM16.90 dan boleh didapati mulai bulan depan di seluruh negara.

    Pada majlis sama, Buzan turut menyampaikan ceramah kepada lebih 100 guru Sains dari sekolah sekitar Kuala Lumpur bertajuk ‘Pengajaran dan Pembelajaran Sains Menggunakan Peta Minda.’

    Sumber : Utusan Online 1/7/2009

  • #46 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    ROMBAK KAEDAH BELAJAR BM, BI
    Oleh ABDUL YAZID ALIAS
    pengarang@utusan.com.my

    SHAH ALAM 27 Jun – Kerajaan disaran merombak semula kaedah pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris bagi mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu di kalangan pelajar sekolah.

    Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, cadangan itu dibuat kerana beliau berpendapat pelaksanaan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya akan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut.

    “Kita bercakap daripada segi pengajaran dan pembelajaran bahasa, soal penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik tidak timbul.

    “Sebaliknya, pembelajaran kedua-dua bahasa perlu ditingkatkan dengan bahasa Melayu perlu diberikan keutamaan yang sebaiknya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid di sini hari ini.

    Tambahnya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam dua bahasa itu ialah menambah masa pembelajaran di sekolah dan mengubah sistem pengajaran mengikut kesesuaian usia pelajar.

    Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melihat dan menetapkan persepsi bahawa bahasa Melayu dan Inggeris merupakan satu perkara yang berlainan dan ia tidak boleh ditambah atau dikurangkan antara satu sama lain dalam pembelajaran.

    “Bahasa Melayu dan Inggeris adalah berbeza daripada segi sistem dan strukturnya,” jelas beliau.

    Ungku Aziz juga mahu kerajaan meneliti dan memperbanyakkan sumber maklumat termasuk buku-buku berkaitan sains dan teknologi dalam bentuk terjemahan bahasa Melayu.

    Katanya, ketika ini beliau mendapati tidak begitu banyak terjemahan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Melayu terutamanya berkaitan dengan bidang berkenaan.

    “Sebagai contoh, Sains dan Matematik tidak tertakluk pada pengunaan bahasa Inggeris kerana kedua-dua mata pelajaran itu sendiri merupakan ‘bahasa simbolik’.

    “Jadi dua mata pelajaran ini boleh diajar dalam pelbagai bahasa. Malah dengan ada banyak rujukan dalam bahasa Melayu, saya fikir tidak ada masalah untuk menguasai bidang-bidang ini,” ujarnya.

    Sumber : Utusan Online 28/06/2009

  • #47 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    Pendidik perlu sokong pemansuhan PPSMI – TPM

    Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru warga pendidik di seluruh negara menyokong sepenuh hati pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi perubahan sistem pendidikan negara.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru perlu memahami dan menghayati dasar-dasar baru kerajaan bagi menjelaskan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang keputusan pemansuhan itu.

    ”Pastinya tidak elok kalau di kalangan warga pendidik berdebat ada yang pro dan ada yang kontra. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, ia memang ada rasionalnya.

    ”Justeru saya berharap sokongan 100 peratus dari kalangan warga pendidik atas dasar dan perubahan yang kita buat, biarlah sepenuh hati kalau tidak nanti ada yang berbelah-bahagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

    Muhyiddin turut mengakui pencapaian PPSMI pelajar di bandar agak baik tetapi bilangannya amat rendah.

    ”Berdasarkan realiti ini kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeorpady (kesukaran berganda).

    ”Jika berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi defisit pengetahuan di kalangan pelajar di mana pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik menghadapi masalah untuk menguasai ilmu sains dan matematik di peringkat lebih tinggi,” katanya.

    Muhyiddin berkata, walaupun terdapat suara-suara yang membantah pemansuhan PPSMI terutama di akhbar dan blog, namun suara majoriti senyap harus diambil kira.

    ”Mungkin 80,000 yang tidak setuju (dengan pemansuhan ini) dalam blog, tapi dekat luar ada dua tiga juta lagi yang menyokong,” katanya.

    Beliau menambah, lima buah Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus bahasa Inggeris akan diwujudkan untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris supaya guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru terbaik dari luar negara dapat ditempatkan di kawasan luar bandar.

    Ini termasuk menyediakan insentif khusus kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia berkhidmat di luar bandar.

    Katanya, enam jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI).

    ”Jawatankuasa ini bertanggungjawab memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan demi kebaikan kualiti pendidikan kebangsaan,” katanya.

    Sumber : Utusan Online 04/12/09

  • #48 written by Cg Narzuki
    about 4 years ago

    DASAR 10 MATA PELAJARAN DAN PENGREDAN BARU SPM 2010


    DASAR 10 MATA PELAJARAN DAN PENGGREDAN BARU SPM 2010

  • #49 written by eka kHairinA
    about 3 years ago

    assalamualaikum,cikgu saya pembahas sekolah dan kami perlukan idea di pihak pembangkang serta pencadang…ini tajuknya(prasarana sekolah yang lengkap penentu kecemerlangan akademik pelajar)..

  • #50 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?
    Oleh JAMLIAH ABDULLAH
    pengarang@utusan.com.my

    ALOR SETAR 11 Nov. – Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

    Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.

    Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

    Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

    “NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

    “Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

    Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

    “Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.

    “Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah,” katanya.

    Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.

    Utusan Malaysia Online: 12 November 2011

  • #51 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    Guru jangan panik dengan projek rintis KPM – Ka Siong

    ALOR SETAR 12 Nov. — Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong hari ini menasihatkan para guru agar tidak panik dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

    Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri – Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak – berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

    “Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah di sini hari ini, Ka Siong berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah.

    “Saya harap semua guru di empat negeri tersebut tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan. “Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara,” katanya.

    “Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian.

    Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya,” kata Ka Siong. — Bernama

    Utusan Malaysia Online: 12 November 2011

  • #52 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    Minda Pengarang: Cadangan kerja sembilan jam atasi beban tugas guru

    CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kelmarin, berkata program perintis itu hanyalah kajian awal yang membabitkan 5,000 guru di empat negeri. Sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya kepada keseluruhan warga perguruan belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil kajian itu yang mengambil masa enam bulan. Program perintis itu seperti dijelaskan Ka Siong adalah sebahagian daripada usaha menangani isu beban tugas guru yang dikatakan semakin berat sekarang. Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar.

    Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari. Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.

    Berita Harian Online: 14 November 2011

  • #53 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    GURU TIDAK PERLU KERJA 9 JAM
    Oleh AZMY MOHAMED

    PEMANSUHAN projek rintis guru bekerja sembilan di empat negeri menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah golongan pendidik dan bersedia menerima sebarang cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita.

    Ketika mengumumkan pemansuhan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar projek rintis berkenaan yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru.

    Sebenarnya, tujuan peluasan projek rintis yang melibatkan 5,000 guru di Sarawak, Pahang, Melaka dan Johor adalah untuk mencari satu ketetapan terhadap beberapa dakwaan yang kurang tepat mengenai beban kerja guru serta tanggungjawab yang tidak seimbang antara tugas mengajar dan tanggungjawab pentadbiran.

    Hal ini kerana sejak sekian lama telah wujud persepsi bahawa guru terpaksa mengorbankan lebih banyak masa dalam tugas-tugas perkeranian sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

    Ketika ini, mengikut peraturan sedia ada, seseorang guru diwajibkan mengajar sebanyak 30 waktu bagi sekolah rendah dan 24 waktu bagi sekolah menengah setiap minggu.

    Dari perspektif jumlah jam bekerja, guru hanya terlibat dalam aktiviti mengajar kira-kira 18 hingga 22 jam 30 minit seminggu berbanding penjawat awam lain yang bekerja 8 jam sehari iaitu 40 jam seminggu.

    Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa tanggungjawab guru itu bukan sekadar di bilik darjah malah meliputi lain-lain aktiviti termasuk kokurikulum, memeriksa projek latihan pelajar atau buku latihan pelajar dan merancang aktiviti P&P.

    Oleh sebab itu, melalui projek rintis ini, guru terbabit hendaklah merekodkan jumlah masa yang mereka gunakan untuk aktiviti tersebut bagi mengesahkan kerja-kerja berkenaandilaksanakan sama ada semasa di sekolah selepas waktu mengajar, dibawa balik ke rumah atau ketika hari cuti.

    Berdasarkan statistik yang bakal diperoleh akan memudahkan pembuat dasar membuat perancangan untuk memartabatkan profesion perguruan.

    Selain itu, tujuan projek rintis itu juga untuk membolehkan ada kewajaran lain diambil termasuk menempatkan lain-lain profesion dalam perkhidmatan pengurusan pendidikan misalnya kalangan penjawat awam yang dilatih khusus dalam bidang kewangan, pentadbiran, pengutipan data dan sebagainya.

    Sekiranya kutipan data itu menggambarkan bahawa guru yang menumpukan sepenuh masa dalam P&P telah mampu meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang cemerlang, maka adalah wajar tugas bukan akademik diserahkan kepada orang lain.

    Bagaimanapun aspek pedagogi tetap menjadi hak eksklusif para guru kerana mereka memang dilatih dalam bidang itu tetapi bukan dalam aspek pengurusan.

    Apa pun pemansuhan projek rintis ini berjaya menghilangkan rasa panik di kalangan guru khususnya yang terlibat secara langsung dan juga guru lain secara keseluruhannya.

    Kini, semua guru boleh kembali fokus untuk mendidik anak bangsa demi memenuhi hasrat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan hasrat Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

    Diharap pemansuhan ini akan memberi lebih banyak masa dan ruang untuk guru membentuk kemenjadian anak didiknya.

    Peluang ini hendakaklah dimanfaatkan oleh para guru untuk mengutamakan kerja wajib mereka seperti mengajar, memeriksa dan menyemak, mengurus para pelajar dan memberi bimbingan akademik.

    Seharusnya, ia tidak disalah guna untuk kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi peluang ini wajar digunakan untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya mereka terus dihormati dan disanjung tinggi oleh pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.

    Sumber : Utusan Online 21 November 2011

  • #54 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    Saraan Baru Perkhidmatan Awam
    Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13 Tahun 2011

  • #55 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

  • #56 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago
  • #57 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago
  • #58 written by Cg Narzuki
    about 2 years ago

    386 PERINTIS PROGRAM ASAS VOKASIONAL

    15 sekolah menengah terpilih mula sistem pembelajaran beri kemahiran pada usia muda

    PUTRAJAYA: Seramai 386 pelajar Tingkatan Satu menjadi perintis Program Asas Vokasional (PAV) membabitkan 15 sekolah menengah terpilih di seluruh negara selepas memulakan pembelajaran mereka sebaik sesi persekolahan baru dibuka dua minggu lalu.
    Melalui program itu, pelajar didedahkan bidang kemahiran yang juga asas vokasional pada usia lebih muda, seterusnya melayakkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua sebaik menamatkan Tingkatan Tiga kelak.

    Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab, berkata sekolah perintis itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak Selatan di Perak yang menawarkan kursus Automotif; SMK Sungai Rawang, Sepang, Selangor (Tanaman) serta SMK Bukit Goh, Kuantan, Pahang; SMK Kubang Kerian 2, Kota Bharu, Kelantan dan SMK Beaufort, Sabah bagi kursus Penyediaan dan Penyajian Makanan.

    Sekolah lain ialah SMK Datuk Menteri, Batu Pahat, Johor dan SMK Simpang Kuala, Alor Star, Kedah bagi kursus Pembuat Perabot; SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan (Visual dan Animasi); SMK Seri Pengkalan, Melaka (Pakaian dan Jahitan) dan SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan (Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara).

    SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad, Pulau Pinang pula menyediakan kursus Menservis Motosikal; SMK Arau, Perlis (Pakaian dan Jahitan); SMK Belaga, Sarawak (Pendawaian Elektrik); SMK Saujana, Setiu, Terengganu (Akuakultur) dan SMK Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur (Hiasan Dalaman).

    “Sepanjang enam bulan pertama ini, pelajar didedahkan dengan pengurusan diri, asas kemahiran selain diperkenalkan dengan bengkel serta peralatan yang akan digunakan kelak.
    “Pembelajaran dijalankan secara hands on sepenuhnya selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi pada masa depan,” katanya, di sini.

    Ahmad Tajudin berkata, tenaga pengajar membabitkan guru Mata Pelajaran Vokasional (MPV) sedia ada yang sudah diberi kursus PAV yang baru diperkenalkan.

    Katanya, silibus turut membabitkan beberapa mata pelajaran teras, selain diterapkan komponen jati diri, keusahawanan dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.

    “Kementerian bercadang memperluaskan PAV ke 150 sekolah membabitkan 20 pilihan kursus tahun depan.

    “Keutamaan diberikan kepada pelajar lemah akademik, tetapi jika ada kekosongan, pelajar memiliki akademik sederhana yang berminat dipertimbangkan,” katanya.

    Sumber: Berita Harian |13/01/2012|

  • #59 written by Cg Narzuki
    about 9 months ago

No trackbacks yet.