Transformasi Pendidikan Vokasional

UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI PADA 06/01/2012 DI MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian
Yang Berbahagia Dato Sri Abd Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Ketua-Ketua Jabatan,
Dif-Dif Kehormat, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Tuan-Tuan, Puan-Puan,
Seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis bersejarah yang menandakan permulaan transformasi pendidikan vokasional, selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu ngarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan perhargaan kepada pihak penganjur dan tuan rumah iaitu German Malaysia Institut (GMI) kerana dapat menjayakan majlis yang amat bermakna ini.

2. Aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan berhasrat untuk merealisasikan ‘High Income Economy’ atau Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Dalam Model Baru Ekonomi yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dinyatakan bahawa kejayaan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan negara merupakan faktor yang kritikal, bagi menentukan pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

3. Dalam memenuhi aspirasi ini, pendidikan vokasional adalah laluan yang penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi. Peningkatan kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, sistem latihan kemahiran dan jalinan usahasama dengan pihak industri perlu diperkukuhkan supaya lebih responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara. Untuk itu, peranan yang dinamik dari pihak yang terlibat menjadi faktor penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing. Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Para hadirin sekalian,

4. Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 lagi dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan negara serantau. Kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan ( OECD ) adalah 44%, berbanding hanya 10% di Malaysia. Jika kita melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara ini. Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4 -5 tahun) dan program apprenticeship. Malahan di negara tersebut, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat umur 14 tahun lagi. Di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar yang mengambil aliran ini di peringkat menengah atas mejangkau 40 hingga 60 peratus. Dalam pada itu, pendidikan vokasional di sekolah luar negara juga melibatkan On The Job Training bagi menghasilkan tenaga kerja kepada industri. Apabila tamat pengajian, pelajar mereka dianugerahkan sekurang-kurangnya sijil dan ada negara yang menawarkan sehingga peringkat diploma.

5. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara serantau, pendidikan vokasional di Malaysia perlu dibuat perubahan besar dan segera. Jika ini tidak dilakukan, kita bimbang negara kita tidak kompetitif di peringkat global dan terus ketinggalan. Kejayaan perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik, tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

6. Pendidikan vokasional di Malaysia pada masa ini sedang menuju ke arah konsep Pendidikan Untuk Semua ( Education For All ) seperti yang digariskan oleh UNESCO. Program Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) yang dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan alternatif kepada murid yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengan rendah lagi sehingga ke tahap kolej vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Swasta ( ILKS ). Sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf menjadi KV rintis pada tahun 2012 seperti yang disebutkan tadi. Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nanti adalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi.

Hadirin sekalian,

7. Transformasi pendidikan vokasional merupakan usaha merekayasa kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus dan sumber manusia sehingga terbina sistem pendidikan vokasional yang baharu. Proses dilaksana menerusi lima strategi, lima inisiatif dan sebelas tindakan. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Buku Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional yang akan dilancarkan sebentar lagi.

8. Lima strategi utama ini merangkumi:
– Transformasi kurikulum pendidikan vokasional
– Transformasi institusi pendidikan vokasional
– Kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri
– Transformasi pentaksiran pendidikan vokasional.
– Transformasi organisasi pendidikan vokasional.

9. Dalam usaha memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan industri, Kementerian amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama (MoU) antara institusi latihan KPM (PAV dan KV) dengan industri kerana dengan adanya perkongsian teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung dapat memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan para pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar. Maka pada hari ini akan termeterai perjanjian persefahaman (MOU) di antara KPM dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS. Syabas diucapkan kepada agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS yang terlibat.

10. Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil ke hadapan untuk sama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku. Kerjasama pihak industri dalam menyediakan latihan kemahiran amat penting agar latihan melalui “work based learning” dapat diperolehi oleh pelajar. Kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan berlakunya ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan institusi latihan kemahiran.

11. Di samping itu, amalan standard kualiti persekiran tempat kerja melalui konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal juga telah mula diperkenalkan di sekolah menengah teknik dan vokasional oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009. Pelaksanaan konsep 5S perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutama di bengkel-bengkel dan juga pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur. Inisiatif ini juga merupakan langkah ke arah transformasi persekitaran kolej vokasional supaya amalan budaya bekerja yang berkualiti diterapkan kepada pelajar KV. Kita mengharapkan graduan KV akan mengamalkan budaya ini apabila mereka bekerja atau menjalankan perniagaan nanti. Saya difahamkan 8 buah sekolah akan menerima Sijil 5S dari Malaysia Trodiction Council (MPC) pada hari ini. Syabas diucapkan.

12. Akhir sekali saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, kementerian dan agensi-agensi lain dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan vokasional ini. Kepada seluruh warga Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM, SMT/V dan Kolej Vokasional, saya mengucapkan Selamat maju jaya. Tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan vokasional demi masa depan negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan modal insan negara yang kita cintai.

13. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia..

Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekian, terima kasih.

[dm]251[/dm]

  1. TRANFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

    Pengenalan ;

    1. Apakah yang dimaksudkan aliran teknikal?

    Aliran teknikal dikhususkan kepada pelajar cemerlang dalam akademik pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR). Objektif aliran teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian, perdagangan dan ekonomi rumah tangga).

    2. Apakah pula makna aliran vokasional?

    Aliran vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang pencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak pekerjaan (vocational). Komponen pembelajaran adalah seimbang teori dan amali. Objektif aliran ini ialah membantu melahirkan pekerja separa profesional seperti juruteknik/ pembantu teknik.

    3. Maksud aliran kemahiran?

    Manakala aliran kemahiran dikhususkan kepada pelajar pencapaian PMR yang rendah tetapi berminat kepada pembelajaran amali (hands-on). Objektif aliran ini apabila tamat kursus akan menjadi tenaga mahir di industri atau bekerja sendiri. Kandungan kursus aliran kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Mereka yang berjaya mengikuti kursus ini akan dianugerah dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

    APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.

    Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.

    Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

    Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

    Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.

    Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.

    Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.

    Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.

    Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

    Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.

    Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

    Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

    Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

    Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

    Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

    Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.

    Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.

    Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

    Program Asas Vokasional (PAV)

    Program Asas Vokasional Di 15 Sekolah Harian Terpilih Mulai 2013. Program Asas Vokasional (PAV) yang dikhususkan untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 3 akan dilaksanakan mulai tahun 2013 dalam usaha menjadikan vokasional sebagai pendidikan arus perdana, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

    Beliau berkata PAV akan menggantikan mata pelajaran vokasional (MPV) yang sedang diajar di sekolah harian dan ia adalah sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional.

    “Pelajar lepasan PAV di peringkat menengah rendah kita akan benarkan melanjutkan pelajaran di kolej-kolej vokasional, sebab kita juga akan melaksanakan transformasi dengan mengubah Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional. Ini yang kita usahakan supaya vokasional akan menjadi pendidikan arus perdana setaraf Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

    Katanya PAV akan dilaksanakan di kesemua 15 sekolah harian yang terpilih sebagai sekolah rintis untuk program itu di seluruh negara serta para pelajar yang lulus dalam PAV akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat.

    Beliau berkata lanjutan daripada PAV, antara pendekatan yang diambil kerajaan adalah sama ada dengan kerjasama swasta melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) iaitu penubuhan kolej vokasional baru oleh mereka atau kementerian menghantar pelajar ke kolej vokasional sedia ada.

    Mohd Puad berkata antara kaedah yang akan digunakan kementerian untuk memilih pelajar di sekolah rendah khususnya Tahun 6 bagi mengikuti PAV di peringkat menengah adalah menggunakan penilaian psikometrik.

    “Kita memilih pelajar antaranya melalui penilaian psikometrik di sekolah rendah untuk melihat minat mereka…bukan menggunakan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PAV ini mempunyai penilaian psikometrik tersendiri,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Pelajaran juga akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia mengenai tahap kelulusan pelajar yang melanjutkan pelajaran selama tiga tahun di Kolej Vokasional sama ada tahap Diploma atau SKM Tahap IV.

    Katanya pelajar lulusan PAV sewajarnya meneruskan pengajian di kolej vokasional dan ia adalah matlamat transformasi pendidikan teknik dan vokasional walaupun mereka mempunyai pilihan untuk kembali meneruskan pengajian dalam aliran sekolah biasa.

    “Masalah pendidikan vokasional di negara ini, komponennya adalah 55 peratus vokasional dan teknik (Voktech) manakala 45 peratus lagi akademik, sedangkan di negara-negara maju komponen pendidikan vokasionalnya 70 peratus Voktech dan hanya 30 peratus akademik,” katanya.

    Mohd Puad berkata sekiranya selepas PAV mereka hanya mengikuti kursus dua tahun di kolej vokasional, ia adalah tidak mencukupi kerana di negara-negara maju sekurang-kurang perlukan tiga tahun termasuk ‘job training’ yang penting bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

    Sumber : http://fadzilmahasiswa.blogspot.com/2011/12/transformasi-pendidikan-vokasional.html

  2. TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL LAHIR TENAGA MAHIR

    PENDIDIKAN teknikal dan vokasional sememangnya memerlukan satu anjakan baru yang bukan sahaja membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, malah dijangka mengubah lanskap pendidikan negara untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional serta mengubah komposisi modal insan daripada berorientasikan lepasan akademik kepada lepasan aliran vokasional sejajar amalan di negara maju.

    Justeru, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menstruktur semula sistem pendidikan ini menerusi Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) yang akan dikuatkuasakan pada 2013 kena pada masanya bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang akan menjadi pilihan pelajar.

    Apabila transformasi ini dilaksanakan, maka aliran vokasional tidak lagi dianggap sebagai pendi¬dikan kelas kedua. Apa yang pasti, rancangan penstrukturan semula sistem pendi¬dikan vokasional ini, sudah tentu ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak yang ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara.

    Untuk itu, persepsi umum terhadap pendidikan vokasional harus diubah. Jika selama ini, ramai menganggap pelajar vokasional tergolong dalam kalangan yang lemah atau dikategorikan dalam kelas kedua maka transformasi besar-besaran ini diharap mengubah stigma masyarakat umum bahawa tanggapan sedemikian tidak lagi berasas.

    Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang berjaya dilaksanakan di negara Eropah.

    Kemajuan pesat dalam sektor industri negara yang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir secukupnya tidak dapat disediakan. Malah, harapan seterusnya dapat memberi ruang dan peluang lebih besar kepada pelajar untuk memiliki keupayaan dan tahap kemahiran luar biasa bagi memenuhi permintaan pasaran.

    Secara langsung juga, langkah kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vokasional turut terkandung dalam Bab 5, Rancangan Malaysia ke-10.

    Pendidikan dan latihan vokasional sememangnya mempunyai peranan cukup penting dalam menyediakan laluan utama ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi seterusnya menyumbang kepada penjanaan kekayaan baru bagi negara. Untuk itu, kualiti kuriku¬lumnya perlu dipertingkat dan dise¬suaikan dengan keperluan industri.

    Justeru dalam konteks ini, TPV yang diperkenalkan itu akan membabitkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan Kolej Vokasional (KV) sebagai laluan dalam usaha mencapai matlamat berkenaan. Malah, la akan dilaksanakan mengikut pelan tindakan strategik dalam tempoh 2011 hingga 2020 yang dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu fasa lonjakan dari 2011 hingga 2013, fasa Peningkatan (2014 hingga 2016) clan fasa pemerkasaan (2017 hingga 2020).

    Sehubungan itu, bagi meman¬tap dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem serta kurikulum di bawah TPV, maka mulai sesi persekolahan 2012 Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan projek rintis PAV di 15 sekolah harian atau sekolah menengah kebangsaan (SMK), di samping menaik taraf 15 sekolah menengah vokasional menjadi KV, masing-masing di setiap negeri.

    PAV akan menggantikan mata pelajaran vokasional yang ketika ini diajar di sekolah harian clan akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, khusus kepada lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali. Dalam aspek ini, sistem PAV akan dilaksanakan selama tiga tahun di SMK terpilih itu berdasarkan beberapa tahap sejajar proses transformasi pengajian teknik clan vokasional,

    Lepasan PAV dibenarkan menyambung pelajaran di KV atau ke institusi kemahiran awam dan swasta. la akan dilaksanakan sepanjang tempoh empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya berasaskan kepada kemahiran tertentu.

    Kurikulum KV mempunyai dua komponen membabitkan 70 peratus kemahiran clan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.

    Malah, kurikulum ini akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri dan pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4.

    Dalam merancakkan pendidikan vokasional, pembabitan sektor swas¬ta (industri) turut dipelawa bersama -sama menjayakan transformasi ini. Tanggungjawab yang boleh dimain¬kan oleh sektor ini ialah menyedia¬kan tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di kolej vokasional.

    Menerusi kaedah ini, pendedahan dan maklumat langsung berkaitan industri semasa dapat disalurkan kepada pelajar. Malah, sektor swasta digalak untuk membangunkan institusi vokasional berdasarkan kurikulum yang dipersetujui bagi menam¬pung kemasukan pelajar berpotensi tajaan Kementerian.

    Hakikat betapa penting pelan ini perlu dilaksanakan juga merujuk kepada keperluan negara yang memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi menampung kehendak industri tempatan.

    Tidak terkecuali, transformasi sedemikian perlu diketengahkan berikutan penyertaan pelajar peringkat menengah dalam bidang vokasional masih rendah.

    Ketika ini, enrolmen pelajar Malaysia dalam bidang ini hanya mencapai lima peratus. la jauh ketinggalan berbanding negara maju yang rata-rata mencatat paras lebih 50 peratus.

    Malah negara serantau seperti Indonesia dan Thailand mengatasi jumlah peratusan berbanding Malaysia dengan jumlah pelajar yang mengambil aliran ini menjangkau 40 hingga 60 peratus. Pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu daripada kekuatan utama dalam sistem, pendidikan di German, Hampir 60 hingga 70 peratus daripada pelajarnya iaitu melebihi 1.6 juta orang memasuki sekolah vokasional. la merangkumi kira-kira 340 jenis pekerjaan dan sangat popular di kalangan lepasan sekolah di negara itu.

    Pendekatan ini berjaya mengu¬rangkan kadar pengangguran siswazah dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian kepada tiga peratus sahaja. Sementara di Austria, 78 peratus pelajarnya memasuki bidang vokasional dan hampir 60 peratus mereka yang bekerja mendapat pendedahan dalam bidang itu. Berdasarkan pelbagai usaha bersungguh-sungguh yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, diharap mampu meningkatkan peratusan pelajar aliran berkenaan kepada 20 peratus menjelang 2015.

    Apa yang jelas, pelan transformasi vokasional ini bukan sekadar memberi satu alternatif dalam sistem pendidikan negara, tetapi antara pendekatan bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam mengisi perancangan dan keperluan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

    Sumber : http://fadzilmahasiswa.blogspot.com/2011/12/transformasi-pendidikan-vokasional.html

  3. PELAN STRATEGIK TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

    TAHNIAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA atas daya usaha dan keberanian mentransformasi pendidikan vokasional kebangsaan.

    Keberanian ini berjaya menyelamatkan anak-anak remaja yang berbakat tetapi tiada ketrampilan akademik daripada tercicir dan terbiar.

    Kajian terhadap keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) [darjah enam sekolah rendah] dalam tempoh 2006-2010 misalnya, menunjukkan , secara purata, lebih 15,000 murid setahun memperoleh keputusan gred D (lemah) dan E (sangat lemah). Malah dalam tempoh lima tahun itu sebanyak 9,546 murid – purata 3,600 murid setahun – yang hanya mencapai gred E.

    Demikian juga pencapaian murid dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) [tingkatan tiga sekolah menengah]. Dalam tempoh 2006-2010, secara purata, lebih 36,000 murid setahun hanya mencapai gred D (tahap penguasaan minimum) dan E (tidak mencapai tahap penguasaan minimum). Dalam tempoh tersebut sebanyak 2,258 murid yang hanya mencapai gred E.

    Keberanian ini berjaya mengembangkan bakat anak-anak remaja yang tiada ketrampilan akademik tersebut supaya menjadi insan berguna yang berupaya menyumbang kepada kemajuan negara. Mereka berpeluang menyertai saluran menerusi Program Pendidikan Asas Vokasional (tingkatan satu hingga tingkatan tiga sekolah menengah) dan Program Kolej Vokasional di kolej-kolej vokasional (selepas tingkatan tiga dan selepas tingkatan lima).

    Menerusi Program Pendidikan Asas Vokasional, remaja yang tiada ketrampilan akademik akan berpeluang menjalani pendidikan dan latihan vokasional dalam bidang teknologi, pertanian dan ekonomi rumah tangga.
    Antara kursus bidang teknologi ialah kimpalan arka, kimpalan gas, perabot, binaan bangunan, perpaipan, penyejukbekuan, penyamanan udara, pendawaian elektrik, elektronik audio visual, servis automotif dan dekorasi dalaman. Manakala kursus bidang pertanian ialah akuakultur dan tanaman. Remaja yang meminati bidang ekonomi rumah tangga akan mengikuti kursus pakaian dan jahitan, penyediaan dan penyajian makanan, seni kecantikan, bakeri dan asuhan kanak-kanak.

    Kursus-kursus tersebut tidak statik, sebaliknya akan berkembang dan bertambah mengikut keperluan ekonomi negara. Apa yang penting, remaja yang menjalani Program Pendidikan Asas Vokasional, buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan kebangsaan, akan memiliki kemahiran vokasional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2.

    Tiada lagi keciciran. Tiada lagi bakat terbuang.

    Sumber : http://dzulhijahsokarno.blogspot.com/2012/01/transformasi-pendidikan-vokasional.html

  4. salam saya cuba copy dgn mengklik butang kanan, tapi tak boleh. memang perlu download saja ke..
    tk

  5. Mustafa,

    Memang tidak boleh COPY… tetapi boleh ambil/copy daripada SUMBER asal yang dinyatakan dibawah setiap petikkan.

  6. salam cg marzuki..

    dimana boleh saya dapatkan silibus lengkap untuk kos perakuanan untuk kolej vokasional?

  7. Nur Shaida,

    Cuba dapatkan terus daripada guru2 Kolej Vokasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Content Protected Using Blog Protector Plugin By: Make Money.