SELAMAT HARI GURU 2008

Selamat Hari Guru 2008, kepada semua guru di Malaysia. Teruskan usaha anda mendidik anak-anak pewaris bangsa.

GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG …………………….
Lagu Tema Hari Guru 2008
Lagu & Lirik : Rosli bin Ahmad BTP 2008

Guru cemerlang
Mengasih dan menyayang
Mendidik anak bangsa
Seikhlas jiwa
Gigih terus berbakti
Hidup penuh berbudi
Maruah profesion disanjung tinggi

Guru berjasa
Berkhidmat dengan setia
Menjulang nama bangsa di mata dunia
Hebat tidak bermegah
Waja dan berkarisma
Realisasi visi nan sejati

Guru cemerlang negara terbilang
Keunggulan pendidikan dimartabatkan
Guru cemerlang negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia terpelihara

Guru cemerlang negara terbilang
Keunggulan pendidikan dimartabatkan
Guru cemerlang negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia terpelihara

Guru oh Guru …………………………………………………………..

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Posted on May 15, 2008, in Uncategorized. Bookmark the permalink. 11 Comments.

  1. Mak cakap CIKGU macam MAGGI, makanan rutin time susah,
    Ayah cakap CIKGU macam D’SEEKERS, menakutkan.
    Atuk cakap CIKGU macam ASTRO, macam-macam ada.
    Tapi saya cakap CIKGU macam L”OREAL, kerana dirimu begitu berharga!

  2. Guru,
    dalam ajarnya ada HARAPAN,
    dalam tegurnya ada DOA,
    dalam marahnya ada SAYANG,
    dalam tawanya ada MESRA,
    dalam diamnya ada BIJAKSANA,
    dalam tangannya kita TERBINA,

    ~SELAMAT HARI GURU~

  3. Kamarul 2005

    Salam, saya nak ucapkan SELAMAT HARI GURU, terima kasih atas segala pengorbanan, jasa, budi dan ilmu yang telah cikgu berikan kepada saya, semoga Tuhan membalas jasa baik cikgu.

  4. Dia seorang guru pengganti ayah ibu,
    Dia seorang guru pembentuk generasi baru,
    Dia seorang guru pewaris tamadun ilmu,
    Yang terus hidup sepanjang waktu,
    Diimbau berbunyi, dilihat bertemu.

    SELAMAT HARI GURU.

  5. Assalamualaikum,

    Selamat Hari Guru, semoga diberkati dan dirahmati sentiasa, terima kasih cikgu ! Jasamu ku kenang selamanya …

  6. Dirimu umpama LILIN membakar diri untuk menerangi anak-anak didikmu,
    Terima kasih cikgu.

    Selamat Hari Guru, semoga cikgu sentiasa sihat dan berbahagia selalu.

    HAPPY TEACHER’S DAY

  7. Selamat Hari Guru, cikgu !!!

    Terima kasih cikgu kerana mengajar saya selama ini, jasa cikgu tidak dapat saya balas dan saya doakan cikgu dan family sihat selalu.

    SELAMAT HARI GURU

  8. MARTABAT KERJAYA GURU MESTI TERUS DIPERTAHAN

    Pendidik kena ikhlas, sentiasa tingkat penguasaan ilmu untuk galas amanah bimbing anak bangsa

    PERAYAAN Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 diadakan di Melaka, hari ini, dengan tema ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’, semua pihak termasuk kerajaan dan ibu bapa tentu berharap golongan pendidik akan bekerja lebih dedikasi untuk mendidik anak bangsa. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, SYUHADA CHOO ABDULLAH dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom untuk melihat sejauh mana profesyen perguruan cukup penting dan bagaimana penerimaan dan prestasi guru terhadap tugas.

    BAGAIMANA Kementerian Pelajaran melihat kepentingan sambutan perayaan Hari Guru dalam perkembangan semasa bidang pendidikan negara.

    Tanggal 16 Mei setiap tahun adalah hari besar bagi segenap lapisan warga pendidik. Hari ini, kita menyambut perayaan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dipilih untuk meraikan hari istimewa ini sempena peristiwa pada tarikh sama 1956 apabila Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pendidikan negara. Tarikh itu cukup bersejarah kerana sejak itu, dokumen berkenaan yang dikenali sebagai Laporan Razak menjadi dasar pendidikan kebangsaan. Perayaan Hari Guru yang pertama disambut pada 16 Mei 1972 dengan tema ‘Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara’. Selain meraikan, Hari Guru juga adalah hari untuk guru membuat muhasabah diri, menilai kembali tugas dan tanggungjawab yang sudah mereka jalankan demi kepentingan negara.

    Bagaimana pula dengan sambutan perayaan Hari Guru tahun ini.

    Tahun ini, majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-37 diadakan di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, jam 4 petang. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bakal menyempurnakan majlis pelancaran itu dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu. Pada majlis itu, Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan disampaikan kepada tiga penerima dan Anugerah Tokoh Kepimpinan seorang. Semua tokoh terpilih ini terdiri daripada mereka yang sudah banyak berbakti kepada bidang pendidikan dan sekolah, di samping menyumbang memartabatkan profesion keguruan serta berjasa kepada negeri dan juga negara. Pengiktirafan ini menggambarkan perasaan bangga kita terhadap tokoh berkenaan yang dianggap sebagai mewakili keseluruhan golongan pendidik yang sudah banyak memberi sumbangan tidak ternilai. Seterusnya, pelbagai anugerah dan hadiah lain disampaikan pada majlis berasingan ‘Malam Kilauan Budi’, malam hari sama, bersama Menteri Pelajaran dan Ketua Menteri Melaka. Ini termasuk Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Tema Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Cemerlang, Negara Terbilang’ yang membawa mesej jelas bahawa kecemerlangan guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan juga membina serta membangunkan pelajar adalah amat penting dan berkait rapat dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang, bermakna setanding negara maju lain di dunia.

    Apakah sambutan Hari Guru berkait rapat dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), iaitu teras kelima ‘Memartabatkan Profesion Keguruan’.

    Ya, benar. Kita berharap sambutan perayaan ini dapat meningkatkan lagi imej guru sebagai antara golongan terpenting di negara kita dan pada masa sama, kita juga ingin melihat penerimaan masyarakat terhadap sumbangan dicurahkan guru selama ini. Saya yakin sikap saling hormat-menghormati antara ibu bapa dan guru boleh mempertingkat mutu pendidikan negara. Inilah sebenarnya antara matlamat PIPP, iaitu untuk menjadikan guru bermartabat tinggi sejajar peranan mereka membina negara menerusi sumbangan membangunkan pelajar.

    Apakah cabaran profesion keguruan dalam era globalisasi.

    Berbanding 20 atau 30 tahun lalu, sudah tentulah ada banyak perbezaan dalam perkhidmatan perguruan sekarang. Jika dulu, guru adalah sumber utama ilmu pengetahuan di mana pelajar menaruh harapan untuk mendapatkan pengetahuan dan juga kemahiran. Namun pada hari ini, dengan adanya perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu pesat, peranan guru turut berubah daripada hanya menyampaikan ilmu semata-mata kepada lebih berbentuk fasilitator atau sebagai pembimbing. Maklumat sekarang berada malah boleh diperoleh dari mana-mana, terutama menerusi internet, media, buku serta majalah yang begitu banyak dalam pasaran. Justeru, guru harus memberi bimbingan dan panduan kepada pelajar, misalnya media atau saluran mana mereka boleh mendapatkan maklumat, bagaimana mencari maklumat yang lengkap atau tepat, selain perkara lain berkaitan maklumat ingin dicari. Sebagai contoh untuk mencari maklumat melalui internet, bagaimana mendapatkan alamat laman web betul dan bahan macam mana yang bagus digunakan dalam projek ilmiah pelajar. Menerusi bimbingan sedemikian, pelajar boleh memperoleh sendiri maklumat terus dari buku ataupun internet dengan mudah dan cepat. Begitupun untuk menjayakan peranan itu, guru mesti memiliki ilmu yang tinggi, berkali-kali ganda pengetahuan mengenai suatu perkara berbanding pelajar. Ini bermakna janganlah sebaliknya pelajar yang ada lebih banyak maklumat berbanding guru. Guru yang menguasai banyak ilmu mampu memberi panduan berkesan kepada pelajar mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat berguna. Oleh itu, guru mesti sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan. Selain itu, guru jangan takut untuk mencuba pelbagai kaedah atau pendekatan pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar. Pelajar sebenarnya memiliki keupayaan sangat tinggi dan akan meraih banyak faedah jika guru mengusahakan pelbagai pendekatan. Tambahan pula selain menyampaikan ilmu pengetahuan, guru pada hari ini juga harus dapat memberi pelbagai kemahiran kepada pelajar. Antara kemahiran penting sekarang ialah kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan, penggunaan ICT, berbahasa dan banyak lagi kemahiran insaniah lain. Kita mesti dedahkan pelajar kepada kemahiran berkenaan supaya mereka boleh melangkah jauh dalam alam pengajian tinggi dan pekerjaan apabila meninggalkan bangku persekolahan kelak.

    Tetapi ada segelintir guru yang lebih cenderung kepada ‘zon selesa’ tanpa inisiatif memajukan diri.

    Guru mesti memastikan diri mereka menguasai banyak ilmu. Misalnya dalam membicarakan tajuk alam sekitar meliputi isu pencemaran, guru harus bersedia dengan maklumat terkini kerana pengetahuan pelajar mengenai perkara itu boleh diperoleh daripada banyak sumber seperti internet, majalah, buku, jurnal dan surat khabar. Dalam konteks ini, ilmu pengetahuan beberapa tahun lalu tidak semestinya masih relevan dengan keadaan sekarang. Banyak perubahan alam sekitar dan juga kewujudan baru berlaku. Sehubungan itu, guru mesti mampu menerangkan perkembangan semasa kepada pelajar. Ini bermakna guru bukan boleh melepaskan pelajar mencari maklumat sendiri begitu saja, sebaliknya mesti disusuli dengan perkongsian, perbincangan dan penerangan dalam bilik darjah. Sehubungan itu, guru mesti sentiasa peka dengan perkembangan terkini di dalam dan juga luar negara, tidak boleh hanya bergantung kepada ilmu pengetahuan yang pernah dipelajari dalam pengajian dulu.

    Bagaimana pula dengan senario banyak keluhan, tuntutan, malah ada kala desakan, dilontarkan pertubuhan guru sehingga menimbulkan perspektif umum seolah-olah guru tidak ikhlas berbakti.

    Di negara kita sekarang, ada 26 kesatuan guru yang berlainan matlamat dan objektif. Maka, sudah tentulah aktiviti masing-masing juga pelbagai. Memanglah kesatuan ini diwujudkan sebahagian besarnya adalah untuk menjaga kebajikan guru. Bagaimanapun bagi saya, untuk menjadi kesatuan yang sesuai dengan perkembangan kini, kesatuan seharusnya melihat lebih jauh lagi. Selain menjaga kebajikan serta perihal perkhidmatan guru seperti tangga gaji, mereka turut bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan signifikan membantu Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri mahupun pejabat pelajaran negeri untuk mempertingkat mutu pendidikan negara, terutama merealisasikan agenda PIPP. Misalnya, apakah peranan kesatuan untuk membolehkan PIPP mencapai matlamat yang disasarkan menjelang 2010. Sebagai golongan pada peringkat akar umbi dan berada di sekolah, sudah tentulah pandangan kesatuan boleh digunakan untuk membuat penambahbaikan terhadap bidang pendidikan tanah air.

    Jika selama ini, disiplin pelajar sentiasa menjadi isu hangat, tetapi kebelakangan ini, banyak dipaparkan kes guru bertindak di luar batasan, malah ada yang didakwa merogol pelajar.

    Memandangkan bilangan guru yang begitu besar, iaitu lebih 300,000 orang, sudah tentulah ada di kalangan warga pendidik itu yang tidak bersikap seperti kita kehendaki. Seperti yang kita maklum, seorang guru mesti bermoral tinggi, bertanggungjawab, rajin dan berprestasi baik, tetapi ada juga segelintir yang bertentangan dengan apa kita hasratkan itu. Memang ada tindakan tatatertib diambil terhadap guru terbabit seperti diberi amaran, dipotong gaji, diturunkan pangkat, malah ada yang sehingga dibuang kerja bagi kes berat. Secara umum, dua kes berat yang memang akan diambil tindakan keras jika disabit kesalahan ialah berkaitan najis dadah dan juga jenayah seks. Kementerian mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan dengan harapan profesion keguruan terus dipandang mulia oleh masyarakat.

    Adakah sebarang program untuk membantu guru mengekalkan etika dan moral keguruan.

    Ada usaha sedemikian dari semasa ke semasa. Malah di sekolah, kerap dijalankan program latihan dalaman bukan saja untuk meningkatkan prestasi kerja, tetapi juga dari segi amalan etika profesion. Selain itu, elemen berkenaan turut ditekankan dalam penilaian tahap kecekapan. Di samping itu, kita juga menggalakkan guru menghadiri seminar atau konvensyen pada peringkat negeri mahupun kebangsaan bagi tujuan sama.

    Apakah pesanan khas Datuk kepada guru di seluruh negara.

    Sempena Hari Guru ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di mana saja mereka berada, sama ada di kawasan pedalaman, pulau, luar bandar mahupun bandar. Ingatlah, peranan guru amat penting dan berkait rapat dengan usaha kita menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Sejak sebelum tanah air mencapai kemerdekaan sehingga mengisi kemerdekaan kini, sumbangan guru terhadap pembangunan negara amat besar. Oleh itu, saya berharap pada tahun mendatang, sumbangan guru akan terus ditingkatkan. Marilah kita bekerja dengan bersungguh-sungguh dan anggaplah tugas dilaksanakan sebagai satu amanah dan juga jihad untuk negara. Dengan berfikiran sedemikian, saya percaya warga pendidik akan terus dipandang tinggi oleh masyarakat, sekali gus membolehkan guru melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

    Sumber : Berita Harian

  9. ya saya suka guru

    GURU OH GURU

    BERBURU ke padang datar
    Dapat rusa belang kaki
    Berguru kepala ajar
    Ibarat bunga kembang tak jadi

    Dialah pemberi paling setia
    Tiap akar ilmu miliknya
    Pelita dan lampu segala
    Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

    Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
    Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
    Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
    Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

    Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
    Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
    Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
    Jika hari ini seorang ulama yang mulia
    Jika hari ini seorang peguam menang bicara
    Jika hari ini seorang penulis terkemuka
    Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
    Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
    Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

    Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
    Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
    Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
    Dia adalah guru mewakili seribu buku;
    Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara.
    Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
    Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
    Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
    Menjadi kenangan ke akhir hayat.

    USMAN AWANG
    1979

  10. guru ibarat lilin……… guru kawan besar

  11. GURU UMPAMA CINTA. CINTA ITU BUTA. BUTA ITU MATA. MATA ITU BULAT. BULAT ITU BOLA. BOLA ITU BOLA. BOLA ITU SENTIASA BERPUSING-PUSING. MENJADI GURU SENTIASA BERPUSING-PUSING. DARE TO BE GREAT. TUGAS SANGAT MURNI. SELAMAT HARI GURU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

wp-puzzle.com logo

Content Protected Using Blog Protector Plugin By: Make Money.