STANDARD GURU MALAYSIA

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

Posted on December 2, 2009, in Uncategorized. Bookmark the permalink. 8 Comments.

  1. PENGERTIAN STANDARD GURU MALAYSIA

    Standard Guru Malaysia ialah pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan pernyataan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan (Keperluan).

    Standard Guru Malaysia juga digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan guru di beberapa negara maju.

    Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan Keperluan (K).

    RASIONAL

    Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:

    1. Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan,

    2. Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,

    3. KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan

    4. Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

    TUJUAN

    Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:

    1. mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,

    2. mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.

    Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.

  2. PERINCIAN STANDARD

    Standard merangkumi tiga aspek berikut:

    Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan

    Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:

    S1.1 Domain Diri

    Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara.

    Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.

    S1.2 Domain Profesion

    Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini adalah kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.

    S1.3 Domain Sosial

    Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

    Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman

    Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif.

    Bidang pengetahuan yang patut dikuasai oleh guru adalah seperti yang berikut:

    S2.1 Falsafah, matlamat, dan objektif pendidikan yang menjadi teras dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

    S2.2 Falsafah, matlamat, objektif kurikulum dan kokurikulum, hasil pembelajaran, dan keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajarkan.

    S2.3 Kandungan mata pelajaran yang diajarkan.

    S2.4 Kandungan Ilmu Pendidikan

    S2.5 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum.

    S2.6 Strategi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

    S2.7 Kaedah pentaksiran dan penilaian, dan penyelidikan tindakan untuk menambahbaik amalan pengajaran dan pembelajaran.

    S2.8 Potensi murid dan cara mengembangkannya secara menyeluruh dan bersepadu.

    Standard 3: Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran

    Standard ini memfokuskan kebolehan guru untuk membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum.

    Kemahiran yang patut ada pada semua guru adalah seperti yang berikut:

    S3.1 Kemahiran menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran dan takwim dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapaian murid.

    S3.2 Kemahiran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai.

    S3.3 Kemahiran memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bertujuan memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid.

    S3.4 Kemahiran mengurus bilik darjah; melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.

  3. PERINCIAN KEPERLUAN

    Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan arahan pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa. Lima keperluan penting latihan perguruan telah dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap kompetensi yang diharapkan iaitu:

    Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan

    Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikuti program latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur berikut:

    K1.1 Mengiklankan permohonan
    K1.2 Menapis semua permohonan dan memanggil calon yang layak untuk menduduki ujian kelayakan
    K1.3 Memanggil calon guru yang melepasi ujian kelayakan pada tahap yang ditetapkan untuk menghadiri temu duga
    K1.4 Melaksanakan sesi temu duga calon guru
    K1.5 Membuat tawaran kepada calon guru yang berjaya
    K1.6 Mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran
    K1.7 Menandatangani perjanjian latihan perguruan

    Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian

    Bagi memenuhi keperluan latihan, pentaksiran dan penilaian latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan perkara berikut:

    K2.1 Kurikulum latihan
    K2.2 Sumber manusia yang berkelayakan, kompeten, dan mencukupi
    K2.3 Program terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah
    K2.4 Sumber pengajaran dan pembelajaran
    K2.5 Pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuatkuasa

    Keperluan 3: Kolaborasi

    Bagi meningkatkan lagi kualiti latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mewujudkan permuafakatan dengan pelbagai pihak seperti yang berikut:

    K3.1 Sekolah
    K3.2 Institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara
    K3.3 Badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan

    Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostrktur

    Bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini seperti yang berikut:

    K4.1 Menyediakan kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan kokurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard dan kos yang sedang berkuatkuasa.

    K4.2 Menyediakan rangkaian infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.

    Keperluan 5: Jaminan Kualiti

    Mekanisme jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian, dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara-perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan:

    K5.1 Pemastian jaminan kualiti terhadap Standard
    K5.2 Pemastian jaminan kualiti terhadap Keperluan
    K5.3 Penandaarasan latihan perguruan
    K5.4 Pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

  4. GOLONGAN PENDIDIK MESTI TINGKAT PROFESIONALISME SETARA TARAF GLOBAL

    TIGA AMALAN NILAI
    1. Profesionalisme keguruan
    2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran
    3. Pembelajaran yang tinggi.

    TAWAU: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

    “Ketiga-tiga aspek ini adalah komponen penting yang mesti dicapai setiap guru,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SGM dan merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tawau di Balung dekat sini.

    Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri, profesion dan sosial.

    Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan.

    Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

    Aspek kedua menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif.

    Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.

    Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan.

    Muhyiddin berkata, pematuhan terhadap SGM berupaya memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan warga pendidik berkualiti dan bertaraf dunia.

    “Kita mahu guru di negara ini setanding dengan piawaian global dari segi pencapaian dan penyampaian, terutama dalam keadaan masyarakat meletak harapan tinggi terhadap kemampuan kerajaan memperluaskan capaian pendidikan berkualiti.

    “Justeru, sistem pendidikan kita perlu mempunyai mekanisme bagi menentukan guru yang dilahirkan benar-benar cekap dan memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya.

    Sambil berharap garis panduan itu akan membolehkan warga pendidikan lebih fokus dari segi keupayaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah secara keseluruhannya.

    Mengenai kekangan seperti kekurangan infrastruktur, terutama di luar bandar dan pedalaman yang boleh menjejaskan pencapaian guru, beliau berkata:

    “Peningkatan kemudahan asas di sekolah luar bandar dan pedalaman akan dilakukan secara berterusan, selain menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerajaan mahu merapatkan jurang prestasi dan penyediaan infrastruktur antara sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman supaya tidak wujud lagi perbezaan ketara.

    “Tidak semestinya mereka berada di luar bandar, maka piawaian mereka rendah dan begitu juga sebaliknya. Justeru kita akan ubah keadaan ini secara berterusan mengikut keperluan,” katanya.

    Muhyiddin menegaskan, antara aspek yang akan diberi penekanan ialah menaik taraf sekolah di pedalaman dan meningkatkan kebajikan guru dari segi kediaman serta bantuan elaun.

    Sumber : BeritaHarian Online

  5. NUTP BERI JAMINAN AHLI SOKONG PENUH SGM

    KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli memberi jaminan akan memastikan Standard Guru Malaysia (SGM) yang dilancarkan kelmarin, mencapai matlamatnya.

    Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi.

    “Ahli kami sudah pasti akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, sekolah, kolej dan institut latihan perguruan untuk mengekalkan dan memperbaiki standard yang ditetapkan,” katanya ketika mengulas SGM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di Sabah, kelmarin.

    Dokumen itu akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

    Lok berkata, sebaik standard ditetapkan dan garis panduan jelas diperkenalkan adalah mudah kepada guru mengikuti dan melaksanakannya.

    Pada masa ini, ada kekurangan dan kadang-kadang sukar untuk guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat.

    Beliau berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka.

    Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata dengan pelancaran dokumen itu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai SGM.

    “Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru,” katanya.

    Sumber : BeritaHarian Online

  6. Salam,
    Saya sering mengikuti perkembangan dan maklumat terkini berkaitan mata pelajaran prinsip Perakaunan yang dimuatkan dalam laman web ini. saya sangat tertarik kerana dalam banyak mata pelajaran teknikal yang ditawarkan dalam sistem pendidikan teknik dan vokasional, mungkin inilah satu-satunya mata pelajaran teknikal yang mempunyai laman webnya sendiri. Tahniah saya ucapkan pada cikgu Narzuki atas inisiatif yang dijalankan. Namun saya ingin mencadangkan supaya cikgu Narzuki sentiasa merujuk KPM terutama BPK (sektor PTV) yang bertanggunjawab terhadap mata pelajaran ini supaya maklumat yang dipaparkan lebih relevan dgn situasi semasa.

  7. Salam,
    Terima kasih di atas kunjungan dan cadangan yang diberikan, insyaAllah saya akan sentiasa rujuk laman BPK (sektor PTV) bagi mendapatkan maklumat2 yang terkini untuk dikongsikan dengan rakan guru yang lain.

  8. bagaimana SGM dpt meningkatkan kualiti guru di kwsn pedalaman..mohon pencerahan ckgu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

wp-puzzle.com logo

Content Protected Using Blog Protector Plugin By: Make Money.